Gajah Liar Sesat Diberi Nama ‘Pandan’ Dihantar Ke Tasik Kenyir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Seekor gajah liar yang dianggarkan berusia 40 tahun dan dipercayai tersesat di hutan berhampiran Taman Pandan Damai di sini sejak petang Isnin lalu berjaya ditangkap dan dihantar perkampungan Konservasi Gajah Kenyir di Tasik Kenyir, Terengganu.

Gajah jantan diberi nama Pandan itu ditangkap 13 kakitangan Unit Tangkapan Gajah, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) dibantu lapan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

Dua ekor gajah denak bernama Abot dan Rambai digunakan dalam usaha menjinakkan gajah liar terbabit untuk melancarkan proses pemindahan.

Menurut jurucakap Perhilitan Pahang, operasi memindahkan gajah itu dari kawasan hutan ke lori jabatan terbabit sekitar pukul 2 petang dan selesai sepenuhnya pukul 6.30 petang semalam.

“Kita menghantar gajah terbabit ke Terengganu malam tadi kerana sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP), kenderaan membawa haiwan seperti gajah liar hanya boleh bergerak pada waktu malam.

“Kami mendapat kerjasama baik daripada semua agensi berkaitan seperti polis, bomba, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan pemimpin masyarakat setempat sepanjang operasi,” katanya.

Gajah jantan yang memiliki sepasang gading itu dipercayai tersesat dari Bukit Goh dan menjadikan Hutan Simpan Cerul, sebagai kawasan habitat semulajadi malah turut difahamkan haiwan itu menyusur sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), sebelum tiba di perumahan berkenaan.

Terdahulu, dalam kejadian petang Isnin lalu, kira-kira 500 penduduk perumahan Pandan Damai cemas dengan kehadiran gajah liar yang dipercayai tersesat dalam kawasan hutan berhampiran.

Sumber: UTUSAN