Gol Saat Akhir Julang Selangor

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GEORGETOWN – Selangor FC mendaki tangga kedua carta Liga Super selepas merakam kemenangan ketiga dengan menewaskan Penang FC 2-1 di Stadium Bandaraya di sini, petang tadi.

Noor Al-Rawabdeh muncul wira skuad Merah Kuning apabila meledak gol kemenangan seminit sebelum tamat perlawanan sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Harimau Kumbang masih gagal melakar kemenangan dalam empat perlawanan.

Pasukan pelawat yang turun dengan formasi 4-3-3 pada mulanya mudah menggagalkan sepakan percuma Adriano Aparecido seawal minit ke-10 diikuti sepakan penjuru oleh Hadin Azman pada minit ke-22.

Malang bagi Hadin yang mengalami kecederaan tidak lama selepas itu sehingga pemain berusia 28 tahun itu terpaksa diusung keluar padang.

Skuad Gergasi yang kemudian mula menyesuaikan diri melancarkan serangan dengan Ayron del Valle berjaya meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-28.

Pemain import berasal dari Columbia itu bertindak cemerlang apabila menyudahkan hantaran Faisal Halim menerusi serangan balas pantas yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Shafiq Afifi Suhaimi.

Bersambung babak kedua perlawanan, Penang berusaha keras merapatkan kedudukan dengan melakukan sekurang-kurangnya lima percubaan tepat ke gawang pelawat.

Satu daripadanya berjaya memasuki gawang gol lawan pada minit ke-77 namun ia tidak dikira kerana jaringan tersebut terhasil dalam keadaan ofsaid.

Penantian Penang berakhir apabila kapten Rafael Vitor menanduk gol penyamaan pada minit ke-87 namun situasi pantas berubah apabila Noor Al-Rawabdeh meledak gol kemenangan Selangor, seminit sebelum tamat.

Ia berpunca hantaran pemain gantian, Aliff Haiqall yang turut dibantu Danial Asri sebelum Noor Al-Rawabdeh menyudahkannya untuk membolehkan Selangor membawa pulang tiga mata.

– BERITA HARIAN