Penolong Akauntan Disyaki Rasuah Direman 7 Hari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Seorang penolong akauntan sebuah agensi Kerajaan Negeri Pahang direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman mengeluarkan perintah tersebut selepas suspek wanita berusia 42 tahun itu dibawa ke mahkamah pagi ini.

Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim mengesahkan suspek ditangkap di pejabat SPRM Pahang di Kuantan, pada jam 3.30 petang semalam.

Suspek didakwa meminta bayaran dari seorang pemilik bengkel bagi mempercepatkan tuntutan bayaran untuk kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan jabatan di bengkel tersebut.

Dia didakwa menerima wang rasuah dari RM50 sehingga RM2,500 antara April 2021 dan Februari 2022 dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM41,768.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, di bawah Seksyen 24 akta sama, jika disabitkan kesalahan.

– AWANI