Terengganu Pandang Serius Isu Pencerobohan Bot Pukat Tunda

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KEMAMAN: Kerajaan negeri Terengganu akan mengadakan perbincangan dengan dua negeri jiran iaitu Pahang dan Kelantan mengenai isu pencerobohan bot pukat tunda di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perdagangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius isu pencerobohan pukat tunda yang bukan hanya merosakkan aktiviti tangkapan milik nelayan seperti bubu, malah turut merosakkan unjam dan menjejaskan ekosistem marin lautan di negeri ini. 

“Biasanya, nelayan dari negeri jiran ini didapati bukan hanya menceroboh dan menggunakan pukat tunda di bawah 12 batu nautika, malah ada bot nelayan yang menceroboh pada jarak tiga hingga lima batu nautika yang khusus untuk nelayan pantai. 

“Perairan negeri ini menjadi tarikan kerana kaya dengan ikan berikutan banyak kawasan pembiakan ikan dan terdapat 13 pulau yang menjadi lokasi pembiakan ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesedaran Penyu Tahun 2023 di Pantai Teluk Mak Nik, di sini, hari ini. 

Azman berkata, pencerobohan pukat tunda berlaku sepanjang tahun dan paling banyak pencerobohan dilakukan ketika musim tengkujuh berikutan ikan yang berkualiti tinggi di tengah laut akan menghampiri kawasan pantai untuk bertelur. 

“Kita memandang serius isu ini yang boleh menjejaskan mata pencarian nelayan dan perbincangan antara tiga negeri akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya. 

Menurutnya, dalam kes terbaharu, tiga buah bot pukat tunda yang berpangkalan di Pahang yang dikendalikan kru warga asing, berjaya ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang lima hingga tujuh batu nautika dari Pulau Kapas. 

Mengenai usaha pemuliharaan penyu di negeri ini, Azman berkata, sebanyak 810,962 biji telur dieramkan pada tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 590,249 ekor anak penyu telah dilepaskan dalam tempoh yang sama,” ujarnya.

Sumber: UTUSAN