Peruntukan RM5.7 Juta Baik Pulih, Bina Baharu Rumah Veteran ATM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM5.7 juta untuk inisiatif baik pulih dan bina baharu perumahan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun ini.

Timbalan Menterinya Adly Zahari berkata, sebanyak 125 rumah untuk proses baik pulih sudah diluluskan manakala 44 daripadanya sudah pun disiapkan.

“Bagi kategori bina baharu pula, sebanyak 27 unit rumah sudah diluluskan namun pembinaannya masih belum dimulakan lagi.

“Keperluan veteran ATM itu bukan semata-mata kepada pendapatan kerana ada yang pencen dan tidak berpencen, jadi aspek yang kita lihat agak menyeluruh.

“Biasanya ada lima perkara yang dilihat iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan anak dan kemampuan veteran ATM untuk tingkatkan pendapatan,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi lapan veteran ATM di sini, sempena Program Peduli Veteran ATM (PPV ATM) peringkat Kelantan, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Syarina Kassim dan Panglima 8 Briged Brig Jen Azudin Hassan.

Adly berkata, program PPV di Kelantan adalah yang kedua dihadirinya selepas Melaka dan ia sangat penting dalam mengenal pasti serta menyantuni bekas perajurit negara yang memerlukan bantuan.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan persatuan veteran semua negeri supaya boleh memastikan veteran ATM terutama yang menetap di luar bandar turut mendapat perhatian kementerian,” katanya.

Sumber: METRO HARIAN