37 Pasar Terbabit Program Ramadan Madani di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang menyasarkan jualan mencecah RM3 juta hingga RM4 juta diraih menerusi Program Ramadan Madani di 37 pasar, termasuk pasar tani sekitar negeri ini sepanjang Ramadan akan datang.

Pengarahnya, Saiful Sadri, berkata semua pasar berkenaan juga akan terbabit Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dan menawarkan harga murah dengan lima hingga 10 peratus lebih rendah berbanding pasaran semasa, sekali gus membantu meringankan beban golongan B40.

“Kita akan menarik penyertaan lebih ramai pekebun dan peniaga yang membawa hasil pertanian dari ladang terus kepada pengguna.

“FAMA akan bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menjamin bekalan ayam serta ikan sentiasa mencukupi sepanjang Ramadan dan Syawal nanti,” katanya kepada pemberita pada program memasak bubur lambuk di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, semalam.

Melalui penganjuran program memasuki musim ke-18 dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Pasar Tani UTC itu, sebanyak 4,250 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai sempena menyambut Ramadan, di samping mengeratkan lagi hubungan FAMA dengan peniaga dan pelanggan pasar tani.

Mengulas lanjut, Saiful berkata, 37 pasar di negeri ini akan beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan, secara langsung memberi peluang pengguna mendapatkan produk segar terus dari ladang pada harga lebih rendah.

“Selain itu, kita akan terus mengedar telur bagi menampung kekurangan bekalan makanan itu, Sejak November tahun lalu hingga bulan lalu, hampir satu juta biji telur telah diedarkan di negeri ini. FAMA akan terus mengedar telur hingga bekalannya dijangka stabil pada Jun depan,” katanya.

– BERITA HARIAN