Umat Islam Mula Berpuasa Hari Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Umat Islam di seluruh negara mula berpuasa hari ini, 23 Mac, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Beliau berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari ini, Khamis menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumumkan tarikh itu disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Rabu lalu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada semalam, 22 Mac, bersamaan 29 Syaaban 1444 Hijrah.

Proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi seluruh negara antaranya di Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.

Sementara itu, lebih 1,000 umat Islam pelbagai lapisan usia membanjiri Masjid Negara, di sini, malam tadi bagi menunaikan solat sunat terawih pertama yang diimamkan oleh Ahmad Mujahid Salleh Sani, yang merupakan imam jemputan bagi solat sunat terawih di masjid itu setiap kali Ramadan sejak 2017.

– BERITA HARIAN