KUANTAN – Dua Bazar Ramadan Rahmah di Pahang mula mengagihkan pemberian insentif RM20 kepada 1,000 pengunjung terawal menerusi platform e-dompet.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, pemberian insentif itu membabitkan Bazar Ramadan Rahmah Mahkota Square dan Bazar Ramadan Lurah Semantan, Temerloh.
Menurutnya, seramai 6,000 pengunjung di dua lokasi Bazar Ramadan Rahmah akan mendapat manfaat daripada insentif yang disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Ini adalah pemberian pertama kepada 1,000 pengunjung yang terawal. Agihan intensif ini kita akan adakan di dua lokasi iaitu satu di sini (Mahkota Square) dan satu lagi di Bazar Ramadan Lurah Semantan, Temerloh.”
“Pemberian ini kita akan tetapkan di Mahkota Square iaitu pada 25 Mac, 10 April dan 15 April manakala di Temerloh pula pada 31 Mac, 7 April dan 14 April,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas berakhirnya sesi walkabout peniaga di Bazar Ramadan Rahmah Negeri Pahang di Bazar Ramadan Rahmah Mahkota Square di sini.
Fuziah memaklumkan insentif RM20 diberikan secara sekali bayar yang dimasukkan dalam e-dompet bagi mendidik pengguna membuat pembelian tanpa tunai.
Beliau berkata, seramai 15 peniaga telah berdaftar menjual pelbagai jenis Menu Rahmah di bazar berkenaan.
“Bagaimanapun, kita menjangkakan penyertaan untuk menjual Menu Rahmah terus meningkat dari semasa ke semasa.
“Kita galakkan peniaga untuk menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan atau produk seimbang berteraskan Menu Rahmah dan sekurang-kurangnya 30 peratus peniaga yang menawarkan menu ini sebagai pilihan kepada pengunjung,” ujar fuziah.
– SINAR HARIAN