LAUSANNE – FIFA mengumumkan semalam bahawa mereka menyingkirkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) berikutan kebimbangan politik membabitkan penyertaan Israel.
Keputusan itu dibuat “berikutan perkembangan semasa”, kata FIFA dalam satu kenyataan tanpa menyatakan secara terperinci.
“Tuan rumah baharu akan diumumkan secepat mungkin, dengan tarikh kejohanan masih belum berubah,” tambah kenyataan itu.
Undian bagi kejohanan membabitkan 24 pasukan itu yang akan bermula pada 20 Mei depan akan berlangsung di Bali esok, namun FIFA membatalkan majlis berkenaan tanpa memberikan sebab atau menetapkan tarikh baharu.
Indonesia dan Israel tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik secara formal dan mereka memberikan sokongan buat Palestin di negara memiliki penduduk Muslim paling ramai itu seterusnya mencetuskan penolakan terhadap pembabitan pasukan Israel.
Pegawai kerajaan Indonesia awal minggu ini berkata kegagalan untuk menganjurkan kejohanan berkenaan boleh menyebabkan penggantungan dan mereka boleh disingkirkan daripada kejohanan antarabangsa lain termasuk Piala Dunia dan Piala Asia.
Mereka berkata kegagalan boleh menyebabkan kerajaan rugi dalam aspek ekonomi membabitkan trillion rupiah.
FIFA menambah bahawa sebarang sekatan terhadap Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) “mungkin akan ditentukan pada tahap seterusnya.”
“Saya sudah cuba yang terbaik. Selepas menghantar surat dari Presiden (Indonesia) Jokowi, dan berbincang dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino, kita mesti menerima keputusan FIFA untuk membatalkan hak penganjuran yang akan diadakan itu,” kata Erick Thohir, Presiden PSSI selepas mengadakan perbincangan di Doha.
“Indonesia ialah ahli FIFA, jadi bagi pembabitan dalam bola sepak antarabangsa, kita mesti mengikut peraturan ditetapkan. FIFA memikirkan bahawa dalam keadaan semasa, ia tidak boleh diteruskan, kami mesti menerimanya,” katanya.
Indonesia tidak bermain dalam kejohanan itu sejak 1979.
Mereka layak secara automatik untuk kejohnan itu sebagai tuan rumah tetapi kini akan kehilangannya apabila tuan rumah baharu dipilih.
Israel layak ke kejohanan berkenaan buat pertama kali selepas pusingan akhir Kejohanan Bawah 19 Tahun Eropah selepas mereka menamatkan kedudukan di tangga kedua di belakang England.
– BERITA HARIAN