Wajah Empat Beradik Maut Kebakaran Bersih, Tiada Kesan Terbakar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MUAR: Wajah empat beradik yang maut dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sabak Awor, Muar, malam kelmarin dalam keadaan bersih tanpa kesan terbakar.

Perkara itu didedahkan pendakwah terkenal, Ebit Lew menerusi perkongsian di akaun media sosial malam tadi.

“Adik kecil Puteri Aisyah 8 tahun, Mohd Hakim 6 tahun, Mustakim 4 tahun, Fatihah Aisyah 3 tahun. Kecil-kecil semuanya. Melihat wajah bersih cantik semuanya.

“Saya lihat wajah anak-anak semua comel bersih. Tidak terbakar. Ada calar-calar pun sikit-sikit. Empat beradik dijumpai di bilik air. Mungkin lemas asap dan haba panas,” katanya.

Kejadian jam 7.49 malam itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.

Jenazah empat beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahat kira-kira 8.15 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di Muar.

Menceritakan lawatannya itu, Ebit Lew berkata beliau menangis selepas menghadiri pengebumian jenazah empat beradik berkenaan yang dipercayai lemas akibat rumah terbakar.

Katanya, beliau turut sebak melihat tangisan ibu bapa mangsa sepanjang urusan pengurusan jenazah di Muar, Johor.

“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Ya Allah ampunilah sayangilah rahmatilah keluarga ini,” katanya.

Menurut Ebit Lew, ibu kepada empat beradik itu berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor dan mereka adalah dari keluarga susah sehingga tidak mempunyai barangan elektrik dan televisyen.

Katanya, wanita itu memaklumkan seorang anaknya, Aisyah terlalu ingin menemuinya.

“Ibunya keluar lima minit beli barang bergesa balik lihat dah jadi begitu. Ya Allah Tuhanku sedihnya dengar,” katanya.

Ebit Lew pada masa sama merakamkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan petugas Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar yang memudahkan pengurusan jenazah keluarga berkenaan.

Sumber: BERITA HARIAN