Percaya Pada Rezeki, Harga Kuih Kekal Sejak 5 Tahun Lalu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Di saat harga rata-rata bahan mentah melambung, pengusaha kuih tradisional di Kampung Pondok Jambu Merah di sini, masih mengekalkan harga dan kuantiti jualan.

Noraini Mat Deris, 60, yang sudah lebih 20 tahun menghasilkan aneka kuih tradisional Kelantan tidak mengambil kesempatan atas kenaikan harga barangan asas terutama pada Ramadan.

Kuih jualannya masih pada harga sekitar RM2 dan RM3 sebungkus dan antara manisan yang dihasilkan ialah lompat tikam, bubur butir nangka, asam gumpal, puteri mandi dan nekbat.

Noraini berkata, setiap hari dia menggunakan satu guni tepung gandum seberat 25 kilogram (kg) dan sebelum ini harganya adalah RM62 sahaja

“Kali ini harga seguni tepung gandum meningkat menjadi RM72 untuk 25kg dan kenaikan harga itu turut membabitkan barang mentah lain termasuk gula dan telur.

“Harga gula pula RM66.50 untuk 24kg dan walaupun ia meningkat, rasa manis kuih muih saya tetap tidak berkurangan kerana ingin menjaga keasliannya.

“Begitu juga dengan harga telur ayam yang saya beli sekarang sekitar 55 sen sebiji dan untuk pembuatan kuih nekbat sebenarnya perlu menggunakan telur itik tapi memandangkan harganya juga sangat mahal, kami terpaksa mencampurkan kedua jenis telur itu untuk berjimat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Noraini berkata, penyediaan kuih muihnya dimulakan jam 9 pagi dan siap kira-kira tiga jam kemudian dengan bantuan dua pekerja.

Kuih kemudiannya dibungkus pada harga antara RM2 hingga RM3 sebelum dibawa untuk dijual ke gerai tidak jauh dari rumahnya dan jualan sepanjang Ramadan bermula jam 3 petang.

“Setiap hari memang habis kuih kerana saya masih mengekalkan harga yang sama dan kebanyakan yang datang adalah pelanggan tetap.

“Memang agak terkesan dengan kenaikan harga barang mentah tapi setakat ini rezeki sentiasa ada kerana jika saya turut menaikkan harga jualan, sudah pasti membebankan pembeli terutama yang berpendapatan rendah.

“Lagipun saya masih boleh bertahan kerana semua proses penyediaan kuih dilakukan tanpa pekerja yang ramai sekali gus kos upah dapat dikurangkan,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN