PEKAN – Aidilfitri kali ini memberi lebih makna buat keluarga, A Rahim A Jalil, di Kampung Jalan Rompin Lama, di sini, apabila mendapat rumah baharu selepas menanti lebih sembilan tahun.
Selepas sekian lama mendiami rumah pusaka bersama lapan sekeluarga, warga emas berkenaan menerima rumah bantuan asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bernilai RM65,000, Isnin lalu.
A Rahim, 70, berkata beliau amat bersyukur penantian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan pada Ramadan kali ini dan menganggap ia hadiah Aidilfitri paling bererti buat mereka sekeluarga.
Katanya, tanpa pendapatan tetap sebagai tukang urut tradisional, beliau turut menerima bantuan tunai bulanan sebanyak RM300 dan RM200 baucar belian barangan keperluan asas daripada MUIP.
“Sebagai ketua keluarga, saya begitu terharu apabila permohonan mendapatkan bantuan rumah asnaf diluluskan oleh MUIP pada Oktober tahun ini.
“Saya sekeluarga akan berpindah ke rumah baharu secara berperingkat dan yang pasti, Aidilfitri nanti disambut dalam suasana gembira di rumah baharu.
“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada MUIP dan Ketua Kampung Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud, yang membantu sehingga impian memiliki rumah sendiri kini tercapai,” katanya.
Beliau juga berharap rumah baharu yang diterima itu akan menjadi penawar masalah paru-paru dan sakit dalam perut yang dialami sejak beberapa tahun lalu hingga menjejaskan kehidupan sehariannya.
Sementara itu, Mohd Nasrul Hakim berkata, rumah yang disediakan itu, dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu dan satu bilik air.
“Kita berharap rumah ini akan memberi keselesaan kepada keluarga A Rahim dan mereka boleh menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, selain membina rumah baharu, MUIP turut membantu membaiki rumah warga emas dan asnaf di kampung itu.
– BERITA HARIAN