Tanda Allah berpaling dari hambanya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pernah atau tidak kita tatal telefon seharian, sedar-sedar waktu sudah sampai ke malam. Waktu terasa begitu pantas namun ia berakhir tanpa ada satu perbuatan yang bermanfaat. Sesekali muncul rasa untuk memegang Al-Quran, tetapi akhirnya kita mendahulukan marathon k-drama yang episodnya baru sahaja keluar dan akhirnya kita akhiri hati kita tanpa sedikit waktu kita asingkan untuk ibadah.

 Apabila dihitung-hitung apakah perkara yang kita sedang lakukan dengan, barulah kita menyedari bahawa tiada satu pun perkara yang bermanfaat yang kita lakukan. Bayangkan umur 40 tahun berakhir dengan sia-sia, dan akhirnya angka berganti angka namun kita masih di takuk yang sama.

Menurut Hasan al-Basri: “Salah satu tanda bahawa Allah berpaling dari seorang hamba adalah ia disibukkan dengan sesuatu yang tidak bermanfaat.”

Firman Allah Swt dalam surah At-Taubah: Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka.” Surah al-Taubah 9:67)

Antara tanda Allah berpaling dari hambaNya ialah apabila seorang muslim yang terlalu sibuk dengan hal-hal tidak bermanfaat sehingga langsung melupakan tujuan sepatutnya dia hadir ke muka bumi ini, menandakan bahawa individu tersebut terlalu leka dengan kehidupan duniawinya.  Tidak ada rasa cemburu terhadap ahli ibadah yang asyik ingin beribadah, tidak ada rasa cemburu untuk menuntut ilmu.

Sebagai seorang hamba, ketakutan kita yang terbesar adalah apabila Allah tidak lagi memandang kita. Ini bermakna bukan sahaja kita tidak mendapat nikmat di akhirat namun di dunia lagi kita sudah melepaskan nikmat dipandang ilahi. Ibarat kekasih yang sudah tidak ingin memandang kekasihnya, begitulah kita apabila Allah tidak ingin memandang kita lagi.

Hakikat Dunia “Mass Mediated Reality” sekarang

Hakikat yang tidak boleh kita lari adalah kita berada dalam dunia maya yang begitu mengasyikkan. Segalanya berada di hujung jari untuk kita tatal. Justeru, ia menjadikan kita sentiasa ingin ditenggelami dengan gadjet dan telefon pintar sepanjang masa melainkan diwaktu tidur

Mass mediated reality menjadikan kita leka dan asyik. Setiap orang bebas mencipta kandungan dan menonjol di dalam media sosial serta menarik banyak pengikut media sosial tanpa batas.

Impak dunia maya boleh membawa kepada sikap FOMO iaitu Fear of Missing Out sehingga bimbang jika tidak mengikut trend kita tertinggal dalam masyarakat. Hakikatnya, masa kita begitu banyak dihabiskan untuk sesuatu yang tidak bererti sehingga tanpa sedar kita membazirkan waktu yang cukup banyak.

Berazam menjadi sehebat generasi salafus soleh

Generasi para sahabat, tabi’, tabi’ tabiin sangat memementingkan penjagaan masa. Setiap detik yang adalah sangat berharga buat mereka untuk mengisi waktu untuk beribadah, menuntut ilmu, mengajar ilmu dsb. Bahkan tidak hairan atas kesungguhan para ulama dan ilmuwan terdahulu, mereka mampu menguasai ilmu merentas bidang (polymath) seperti Al-Jahiz, Ibn Khaldun, Al-Biruni dan sebagainya.

Para Ulama menuntut ilmu dengan cukup hebat. Imam Bukhari sanggup merentas negara untuk mempelajari ilmu hadis.  Beliau mengunjungi kota suci Makkah dan Madinah untuk mengikuti kuliah hadith Rasulullah SAW bersama guru-guru besar ahli hadith. Selain daripada Makkah dan Madinah, beliau juga merantau ke Syam, Mesir dan Jazirah, Basrah, Hijaz,  Baghdad, Balagh, Merw, Naisabur, al-Rai, Kufah, Wasit, Damsyik, Qaisariyah dan Asqaland. Jumlah pengembaraan beliau adalah selama 16 tahun bagi  menuntut ilmu hadith dari 1080 guru hadith. Maka tidak hairan, Imam Bukhari boleh menghasilkan magnum opusnya yang terkenal Al-Jami’ As-Sahih yang menjadi kitab rujukan hadis sehingga kini.

Selain menuntut ilmu, ibadah mereka tidak kurang hebatnya. Dalam bulan Ramadan, para ulama dan generasi salafus soleh memberi penekanan yang berlebihan dalam aspek ibadah. Imam As Syafi’i dan Imam Abu Hanifah mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 60 kali Al-Quran.

Ibnu Mas’ud RA berkata: “Tiada yang pernah kusesali selain keadaan ketika matahari tenggelam, ajalku berkurang (usia bertambah), namun amalanku tidak bertambah.”

Para Ulama tidak menghabiskan waktu dengan sia-sia. Mereka menghasilkan karya-karya hebat, menjadi pakar ilmuwan rujukan bertaraf antarabangsa.

Mana mungkin kita dapat mengikuti jejak yang sama dengan hanya menatal telefon pintar semata-mata? Maka hari ini prioritikan ilmu, susunlah Kembali masa agar waktu kita boleh dimanfaatkan dengan betul.