Japen Kelantan Jalin Kerjasama Tingkatkan Kesedaran Risiko Penipuan Dalam Talian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Jabatan Penerangan (JaPEN) Kelantan menjalankan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta bagi memberi kesedaran terhadap risiko penipuan dalam talian kepada masyarakat di negeri itu.

Pengarahnya Muhd Nor Aswadi Mod Nor berkata kerjasama strategik itu merupakan ikhtiar Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menguar-uarkan kepada masyarakat supaya tidak terjebak dan tertipu dengan taktik digunakan scammer dalam talian.

“Dua kaedah digunakan bagi menjelaskan berkaitan penipuan ini iaitu komunikasi bersemuka dan menggunakan media baharu seperti Facebook dan YouTube.

“Kita juga melakukan kerjasama dengan Kelab Media Darul Naim (Kemudi), badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan pendidik yang sudah tentu mereka mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Taklimat Isu-isu Semasa, di sini malam tadi.

Muhd Nor Aswadi berkata sebagai peneraju kepada komunikasi kerajaan, pihaknya akan terus melaksanakan program bagi memberi penerangan berkenaan isu semasa dalam dan luar negara.

“JaPEN Kelantan akan melaksanakan 200 program tahun ini bagi memberikan penerangan dan penjelasan termasuk berkaitan tiga ‘R’ iaitu race (kaum), religion (agama) dan royalty (Institusi diraja).

“Selain itu kita komited melakukan kempen Malaysia MADANI yang diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kita gelorakan di peringkat akar umbi,” katanya.

– BERNAMA