Rujuk Isu ‘Raya Terkejut’ Ke Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan – Menteri Agama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA: Isu ‘raya awal’ yang kembali menjadi perbincangan hangat dalam kalangan umat Islam di negara ini ketika ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar tidak memperincikan bila mesyuarat bersama jawatankuasa itu akan diadakan.

Katanya, beliau akan membincangkan isu berkenaan di peringkat jawatankuasa berkenaan bagi mengelak kekalutan kejadian raya awal pada tahun lalu tidak berulang.

“Seboleh-bolehnya kita nak mengelakkan apa yang berlaku pada tahun lalu tidak berulang supaya umat Islam tidak terkejut.

“Itu hasrat (elak raya terkejut) kita semua. Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan pra-matang sebaliknya menyerahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR).

“Kita tahu bahawa kuasa mengumumkan tarikh hari raya terletak di bawah PMBRR selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam satu program di sini hari ini.

Ditanya apakah persediaan yang perlu dilakukan umat Islam untuk berdepan sebarang kemungkinan itu, Mohd Na’im menasihatkan umat Islam supaya bersabar.

“Jadi saya rasa kita kena tunggulah, di pihak kami pastinya nak elak benda itu. Bagaimanapun, ada satu kaedah dalam syarat yang menyebut ‘tindakan pemerintah yang bertanggungjawab itu didasarkan kepada kepentingan awam’.

“Jadi saya ingat itu kriteria yang akan digunakan untuk memudahkan rakyat jika situasi itu berlaku kelak,” katanya.

Sebelum ini, Pusat Astronomi Antarabangsa berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjangkakan akhir Ramadan pada tahun ini jatuh pada Khamis bersamaan 20 April 2023.

Menurut portal Gulf News, bagaimanapun beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin tidak dapat melihat keadaan anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.

Jelas portal itu lagi, namun begitu, beberapa negara Islam lain berkemungkinan akan dapat menyaksikan anak bulan terbabit pada tarikh tersebut.

Kebanyakan negara Islam mungkin mengumumkan permulaan 1 Syawal pada keesokan harinya yang akan menjadikan Jumaat (21 April) sebagai hari pertama Aidilfitri.

Sumber: BERITA HARIAN