RAUB: Seorang ibu tunggal bersyukur menerima bantuan rumah baharu menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi menerusi projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Sungai Pasu, dekat sini.
Ibu tunggal, Ngatani Wagiman, 59, sebelum ini tinggal di dalam stor lama selama enam tahun kini lebih selesa apabila kerajaan negeri memberikan bantuan rumah baharu berkenaan.
Katanya, sebelum ini, dia dan dua anaknya terpaksa berteduh di stor lama bersebelahan rumah pusaka milik arwah datuk berikutan kesempatan hidup.
“Memiliki rumah bantuan kerajaan ini bakal menceriakan kehidupan dan anak. Sambutan hari raya akan lebih bermakna dengan adanya tempat tinggal yang selesa.
“Saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang prihatin dengan nasib saya sebagai ibu tunggal,” katanya selepas menerima replika kunci RRP di Kampung Sungai Pasu dekat sini, hari ini.
Majlis penyerahan replika kunci RRP disempurnakan oleh Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal.
Ngatani berkata, dia agak malu apabila saudara mara datang menziarahnya dan terpaksa mengajak tetamu ke rumah pusaka milik arwah datuknya sebab stor itu sempit dan kurang selesa.
“Stor yang dijadikan rumah ini sangat uzur termasuk atap bocor dan dinding berlubang sehingga tempat tidur dan dapur basah setiap kali hujan lebat dan musim tengkujuh. Saya tak mampu membaikinya,” katanya.
Anak bongsu Ngatani yang bekerja sebagai bilal masjid, Mohamad Haziq Aiman Shaipul Arifin, 20, berkata dia tinggal bersama ibunya turut membantu meringankan beban keluarga dengan membeli keperluan dapur, tetapi tidak mampu untuk membina rumah untuk ibunya.
“Ketika dimaklumkan keluarga kami antara penerima RRP, saya rasa sungguh bertuah dan tidak menyangka memperoleh rezeki seperti ini,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN