KUALA TERENGGANU – Anak syarikat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), MAIDAM Property Sdn Bhd telah melancarkan Program Bimbingan Usahawan Asnaf yang merupakan insentif terbaru di bawah tanggungjawab sosial syarikat (CSR).
Pengurus Besar MAIDAM Property Sdn Bhd, Wan Farid Wan A.Latif berkata, program ini bertujuan bagi menyumbangkan ke arah kelestarian pembangunan pihak berkepentingan khususnya kepada komuniti Islam, golongan asnaf dan fakir miskin, kelainan upaya dan yang memerlukan.
“Objektif program yang dicapai adalah untuk melahirkan usahawan asnaf yang berdikari, proaktif dan kompeten melalui latihan demi latihan untuk keluar daripada status asnaf, fakir dan miskin kepada pembayar zakat atau muzzakir”.
Tambahnya lagi, MAIDAM Property juga menyasarkan untuk membimbing seramai 100 orang asnaf bagi program ini selama tiga tahun bagi membantu usahwan asnaf keluar daripada kemiskinan.
“Untuk projek perintis seramai 20 orang asnaf telah dilantik oleh pihak syarikat untuk menjadi dropship melalui instrumen AC Gas dan Maidam Gold”.
Menurut beliau lagi, pihak MAIDAM property dengan kerjasama pelbagai agensi yang telah dikenalpasti akan menyediakan kursus dan latihan keusahawanan asnaf fakir miskin bagi menambah kemahiran supaya dapat meningkatkan pendapatan serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan.
“Modul latihan usahawan yang akan dipelajari oleh para asnaf ini termasuklah strategi pemasaran, kemahiran pendigitalan dan pengurusan kewangan”, beliau berkata demikian pada Majlis Pelncaran Program Bimbingan Usahawan Asnaf MAIDAM Property dan Majlis Berbuka Puasa di Paya Bunga Hotel pada Sabtu.
– UNIT BERITA MANIS FM