Tumbuk Sane, Mane Didenda Lebih RM1 Juta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MUNICH – Sadio Mane didenda lebih 250,000 euro (RM1.21 juta) oleh Bayern Munich kerana menumbuk muka rakan sepasukan, Leroy Sane minggu lalu.

Bekas pemain Liga Perdana Inggeris itu bertengkar di atas padang ketika kekalahan 3-0 di tangan Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, dan situasi semakin tegang apabila mereka memasuki terowong di Stadium Etihad.

Bekas pemain City, Sane luka dan bengkak di bahagian bibir manakala bekas pemain Liverpool, Mane didenda dengan jumlah tertinggi dalam sejarah Bayern.

Mane turut digugurkan ketika aksi Bundesliga menentang Hoffenheim pada Sabtu, tetapi akan kembali untuk perlawanan suku akhir kedua bertemu City esok.

Bekas pertahanan Borussia Dortmund, Manuel Akanji yang akan membarisi skuad City di Allianz Arena, berkata tidak ada apa yang perlu digeruni dengan suasana di Munich.

“Bayern akan cuba melakukan apa saja untuk mengatasi defisit ini tetapi kita perlu bersedia. Kita tidak boleh turun dengan berfikiran yang kita mempunyai kelebihan 3-0,” kata Akanji.

– BERITA HARIAN