PM akan Hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri di Kedah, Kelantan dan Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri yang biasanya berlangsung pada 1 Syawal di kediaman rasmi beliau di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Sebaliknya, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan buat julung kalinya, Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI Bersama Perdana Menteri akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Katanya, program di Kedah diangkat sebagai program berstatus nasional dengan jumlah kehadiran pengunjung disasarkan seramai 25,000 orang, manakala sasaran di negeri lain pula adalah seramai 15,000 orang di setiap lokasi.

“Program di Kedah akan diadakan di Hotel Raia, Alor Setar bermula jam 10 pagi hingga 2 petang, 29 April ini dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai kementerian peneraju.

“Sementara program di Kelantan diadakan pada 12 Mei bertempat di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV bermula jam 7 petang hingga 10.30 malam, dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebagai kementerian peneraju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, majlis di Terengganu pula diadakan pada keesokannya iaitu pada 13 Mei bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bermula jam 7 petang hingga 10.30 malam, dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebagai kementerian peneraju.

Selain itu, terdapat tiga lagi Rumah Terbuka Aidilfitri akan dihadiri Perdana Menteri yang dianjurkan masing-masing oleh kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Katanya, majlis anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku penyelaras utama akan dihadiri Perdana Menteri sebagai tetamu jemputan utama bagi menyantuni pelbagai lapisan rakyat yang akan berkunjung ke majlis berkenaan.

“Menteri Besar atau Ketua Menteri juga akan dijemput selain ahli jemaah menteri persekutuan,” katanya.

– BERITA HARIAN