Korban Raya Demi Kemudi Feri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA KRAI – Tatkala orang lain sibuk menyambut 1 Syawal bersama keluarga, Muhammad Asrul Akif Jazlan, 23, tetap gigih mengemudi feri di Jeti Pasir Kelang, di sini.

Dia yang awalnya lengkap berbaju Melayu, menukar pakaian biasa untuk meneruskan tanggungjawab demi memastikan orang ramai dapat menyeberangi Sungai Nal pada Aidilfitri ini.

Katanya, semalam dia bertugas sebelah pagi dan terdapat lebih 300 penumpang termasuk kenderaan dibawa menaiki feri terbabit untuk ke beberapa perkampungan yang terletak di seberang sungai.

“Saya keluar rumah seawal jam 6.30 pagi untuk memastikan feri dalam keadaan baik sebelum beroperasi pada jam 7 pagi. Bagaimanapun, operasi dihentikan sebentar untuk solat sunat Aidilfitri sebelum diteruskan semula sehinggalah jam 11 malam.

“Ramai yang sudah menunggu awal terutama anak perantau yang mahu pulang ke kampung mereka dan hanya feri satu-satunya pengangkutan yang boleh digunakan untuk menyeberangi sungai ini.

“Sejujurnya, saya tidak berasa terbeban terpaksa bekerja pada Hari Raya, sebaliknya gembira melihat orang kampung dapat pulang ke rumah masing-masing selain beraya bersama saudara mara,” katanya ketika ditemui sedang mengemudi feri daripada Jeti Pasir Kelang ke Jeti Era, di sini, semalam.

Terdapat beberapa penempatan yang terpisah dari bandar Kuala Krai oleh sungai berjarak 250 meter yang memerlukan penduduk menggunakan khidmat feri untuk ke beberapa kampung seperti Kampung Buyong Darul Hijrah, Kampung Sungai Taku, Kampung Taku Estet dan Kampung Bahagia.

Muhammad Asrul berkata, dia bekerja sebagai pengemudi feri sejak lebih setahun lalu dan ia adalah pengalaman pertama bertugas pada pagi raya.

“Walaupun sedikit penat kerana penumpang bertambah berkali ganda, namun puas kerana semuanya dapat dibawa dengan selamat, seterusnya merealisasikan impian ramai orang untuk beraya bersama keluarga.

“Saya bersyukur kerana urusan saya juga dipermudahkan selain cuaca yang baik dengan arus sungai yang tidak membahayakan,” katanya yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik.

Menurutnya, dia cukup gembira menerima ucapan terima kasih dan senyuman daripada penumpang yang menghargai khidmatnya membawa mereka merentas sungai, terutama bagi orang luar yang baru pertama kali menaiki feri ini,” katanya.

– BERITA HARIAN