YB Setiausaha Kerajaan Pahang Bersara Selepas 34 Tahun Berkhidmat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak bersara selepas memberikan khidmat dan jasa selama 34 tahun termasuklah empat tahun menyumbang bakti di bumi Pahang.

Dato’ Sri Dr. Sallehuddin berkata, selama berkhidmat bersama Kerajaan Pahang beliau telah mendapat kerjasama dan sokongan daripada Kerajaan Negeri

sehingga memberikan hasil yang tinggi selain membawa masuk pelaburan asing ke Pahang yang membolehkan sumbangan sosial dilaksanakan.

“Saya berharap pengurusan baharu SUK nanti akan dapat meneruskan kesinambungan hubungan yang baik di antara kerajaan dan juga pentadbiran kerana hubungan baik ini akan dapat mewujudkan satu kerajaan yang kuat dan jika kerajaan kuat barulah kita dapat berikan sumbangan terbaik kepada rakyat.

“Sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh penjawat awam di Negeri Pahang sama ada negeri atau persekutuan yang telah memberikan sokongan dan kerjasama kepada saya selama empat tahun berkhidmat di sini dan apa-apa kejayaan ini merupakan kejayaan semua”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas diraikan pada majlis ringkas persaraan beliau yang dihadiri ketua-ketua jabatan dan kakitangan pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YH. Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato’ Razihan Adzharuddin.

Graduan daripada Universiti Malaya ini telah memulakan kerjayanya pada tahun 1986 sebagai Penolong Pegawai Daerah Kuala Pilah di Negeri Sembilan sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang “Land Economy” dari University of Aberdeen, United Kingdom kemudian memperoleh Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang “Urban Studies” dari University of Glasgow, Scotland.

Dato’ Sri Dr. Sallehuddin telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang ke-21 pada 7 Januari 2019 selepas menggalas tugas sebagai Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan pada 2015 hingga 2019.

Selama berkhidmat bersama Kerajaan Pahang, pengalaman berhadapan pandemik COVID-19 merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana semua pihak berganding bahu tanpa mengira kepercayaan dan fahaman politik dalam usaha memutuskan penularan wabak tersebut.

“Lain tempat lain kenangan, saya ingat di sini (Pahang) kenangan yang paling menarik di sini ialah semasa berhadapan dengan COVID-19 di mana kita melihat semua lapisan pentadbiran dan juga kerajaan bekerja bersama-sama begitu erat tanpa mengira kedudukan dan parti politik dan Alhamdulillah Pahang antara negeri pertama keluar daripada COVID19,” katanya.

Jelasnya, beliau masih belum mempunyai perancangan khusus selepas persaraannya dan hanya ingin meluangkan waktu untuk berehat selepas 34 tahun mencurah bakti kepada negara.

– PAHANGMEDIA