Tetap Hidupkan Amalan Ramadan di bulan Syawal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

كن ربانيا ولا تكن رمضانيا

“Jadilah hamba tuhan yang Rabbani, dan janganlah kamu jadi hamba Ramadan.”

Syawal merupakan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Syawal bukan penutup segala amalan, namun bulan permulaan setelah sebulan melalui madrasah Ramadan. Ini bermakna segala amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan adalah bekal ruhani kepada sebelas bulan yang bakal kita lalui.

Ramadan bukti kita mampu lakukan segala kebaikan

Dalam bulan Ramadan, entah dari mana kekuatan tersebut, kita dapat melakukan banyak kebaikan dan menjauhkan diri dari perkara yang tidak disukai Allah.

Seawal jam 5 pagi kita perlu bangun dan bersahur. Selama sebulan kita dapat menahan puasa sehari suntuk dari makan dan minum.

Dapat solat subuh berjemaah di masjid, dapat solat tarawih, beriktikaf di masjid yang mana ia sangat berbeza degan aktiviti ibadah di bulan-bulan sebelumnya. Bahkan sedekah diperbanyakkan dari bulan sebelumnya. Kemudian kita menyantuni pula anak yatim di dalam majlis iftar dengan anak yatim.

Di siang hari pula kita dapat mengelakkan diri dari merokok, mengumpat dan banyak lagi. Segala amal-amal ini adalah bukti dan pemangkin bahawa kita mampu dan boleh untuk mengekalkan amalan-amalan ini ke bulan-bulan seterusnya.

Berazam untuk mengekalkan ibadah ke bulan seterusnya

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:  “Wahai sekalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawasanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian berasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari)

Setelah berlalunya bulan Ramadan, ia bukan tanda segala amal kita perlu dihentikan. Yang kita perlu lakukan ialah teruskan amalan yang mana kita mampu laksanakannya dan memperbaikinya dari semasa ke semasa sehingga ia memberikan buah ketawaqaan kedalam diri kita.

Misalnya, jika amalan kita pada bulan Ramadan ialah bersedekah seringgit setiap hari maka teruskan amalan ini pada bulan-bulan seterusnya. Bukan angka yang menjadi ukuran, namun keikhlasan yang kita harapkan melahirkan ketaqwaan.

Semoga bulan syawal dan bulan-bulan seterusnya menjadi ladang ibadah untuk kita tuai hasilnya setelah sebulan bertungkus lumus di bulan Ramadan.