LONDON – Martin Odegaard membawa Arsenal kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas dua gol jaringannya mencetus kemenangan 3-1 ke atas Chelsea.
Skuad kendalian Mikel Arteta ketinggalan dalam pemburuan gelaran selepas kekalahan 4-1 kepada Manchester City minggu lalu.
Bagaimanapun The Gunners memberi isyarat yang mereka akan terus berjuang sehingga ke perlawanan terakhir selepas merakam kemenangan pertama dalam lima perlawanan.
Dua gol Odegaard disusuli dengan jaringan Gabriel Jesus untuk tuan rumah mendahului 3-0 pada babak pertama di Stadium Emirates.
Noni Madueke menjaringkan gol tunggal Chelsea di babak kedua.
Arsenal kini dua mata di depan City, namun skuad kendalian Pep Guardiola masih berada di landasan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan.
City yang bermain kurang dua perlawanan berbanding Arsenal, akan merampas semula kedudukan teratas sekiranya mereka menewaskan West Ham di laman sendiri awal pagi esok.
“60 minit pertama, saya rasa kami bermain dengan baik. Itu yang saya mahu lihat daripada pasukan.
“Kepantasan, kualiti, pergerakan, dua gol menarik, kami bersatu dengan penyokong dan mencipta suasana menakjubkan.Selepas 10 minggu berada di puncak, Arsenal dipintas oleh City yang menewaskan Fulham pada Ahad lalu.
Tiga keputusan seri berturut-turut, termasuk dua kali mensia-siakan kelebihan dua gol, serta kekalahan kepada City, menjejaskan peluang Arsenal untuk bergelar juara.
Chelsea pula tewas kesemua enam perlawanan sejak Frank Lampard kembali sebagai pengendali sementara menggantikan Graham Potter.
Berada di tangga ke-12 liga, Chelsea kini gagal memenangi sembilan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dan mungkin akan menamatkan saingan dalam kelompok bawah liga buat pertama kali sejak tahun 1996.
Bekas penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang memulakan perlawanan pertamanya bersama Chelsea sejak The Blues tewas 1-0 di tangan The Gunners pada November.
“Kami mahu mendapatkan hak untuk berada di puncak liga. Kami gembira dapat berada di sana,” kata Arteta.
– BERITA HARIAN