KUALA TERENGGANU – “Selepas buta sepenuhnya, saya mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk menguasai braille bagi memudahkan pembelajaran hingga akhirnya berjaya mencatat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 hari ini,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini, Khairul Anwar Zakaria.
Khairul Anwar dari Kuala Nerus yang memperoleh keputusan 5A+ dan 2A, berkata dia dilahirkan normal, tetapi penglihatannya mula kabur ketika berusia 13 tahun dan selang sebulan selepas itu, menjadi buta sepenuhnya disebabkan masalah pada bahagian korteks otak yang disahkan doktor sebagai ‘both eyes cortical blindness’.
Susulan itu, katanya, semangat untuk belajar sedikit terganggu, tetapi atas dorongan keluarga dan beberapa rakan yang mengalami masalah sama, beliau meneruskan sesi pembelajaran dengan mendalami braille sejak di Tingkatan Dua walaupun mengalami pelbagai masalah.
“Berubah daripada seorang yang normal menjadi buta, memang cabaran yang terlalu sukar untuk saya lalui kerana terpaksa menggunakan jari untuk mengenali huruf yang timbul.
“Saya mengambil masa setahun untuk menguasai kemahiran braille sebelum boleh membaca dengan lancar.
“Video pembelajaran yang didengar melalui YouTube banyak membantu saya membuat ulangkaji pelajaran menghadapi SPM.
“Kejayaan SPM ini pengubat kepada hati saya yang lara selepas dugaan menjadi buta tanpa diduga,” katanya ketika ditemui di Jabatan Pendidikan negeri, hari ini.
Khairul Anwar yang juga anak bongsu daripada empat beradik bagi pasangan Zakaria Yunus, 59, dan Maznah Mohd, 56, adalah antara 333 calon memperoleh keputusan cemerlang SPM 2022 di Terengganu.
Beliau memperoleh keputusan A+ bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Tasawwur Islam, manakala A bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.
Bercita-cita menjadi pendidik dan berhasrat melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Cheras, Khairul Anwar berkata, dia mengikuti pengajian bersama beberapa rakan senasib dengannya selepas memutuskan untuk tidak tinggal di asrama sekolah pada 2019.
“Saya berulang alik ke sekolah dihantar bapa setiap hari yang secara kebetulan bertugas sebagai jurujual kenderaan di Chendering untuk mengikuti pengajian secara bersemuka dalam kelas khas selama tiga tahun,” katanya.
– BERITA HARIAN