BUTTERWORTH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil perhatian serius atas kekecewaan yang diluahkan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terhadap Majlis Sukan Negara (MSN).
Ia susulan atlet berkenaan menyatakan bahawa MSN gagal menyediakan sistem sokongan lengkap selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, sejak awal tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata beliau percaya bahawa isu yang dibangkitkan itu dapat diselesaikan dengan baik dan meminta semua pihak tidak risau mengenainya.
Katanya, Jawatankuasa Road to Gold (RTG) juga akan mengadakan mesyuarat untuk melihat dan mengkaji permintaan jaguh itu sekali gus menjayakan hasrat negara meraih pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024.
“Mesyuarat ini akan berlangsung minggu depan dan semua hasrat atlet terpilih ini akan dikaji oleh Jawatankuasa RTG dan saya juga telah hubungi Azizul menerusi koordinator kita, Datuk Stuart Ramalingam.
“Kita akan usahakan yang terbaik untuk atlet kita bagi pastikan peluang Malaysia dapat pingat emas itu cerah. Jangan risau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung luahan kekecewaan Mohd Azizulhasni terhadap MSN berikutan kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai pada awal tahun ini.
Terdahulu, Hannah ditemui ketika Majlis Pelancaran Program Malaysia Aktif@Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bagan Jaya, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Mohd Azizulhasni yang dikenali dengan jolokan The Pocket Rocketman berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan MSN sejak setahun, sebelum dia kembali ke Malaysia, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai, sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun.
Atlet berusia 35 tahun itu, yang memenangi pingat gangsa acara keirin di Olimpik Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020, berkata walaupun beliau menerima keputusan MSN untuk memindahkan pusat latihan dengan hati terbuka, namun kepulangannya ke tanah air telah tidak disertai dengan sistem sokongan lengkap dan bertaraf dunia.
Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, KBS melancarkan kelas zumba percuma di 12 PPR meliputi enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor sebagai usaha mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.
“Kelas ini dijalankan sehingga Disember bagi menggalakkan penduduk untuk menjadikan aktiviti ini sebagai sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka.
“Fasa kedua program akan dilaksanakan di ibu negara dan juga Sabah serta Sarawak,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN