Sotong ‘Berkandang’, APMM Diminta Tingkatkan Kawalan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diminta mempertingkatkan kawalan mengekang kemasukan nelayan asing berikutan musim sotong di perairan Terengganu.

Nelayan, Mohd Shahrul Hisham Yusof, 36, berkata, musim sotong sememangnya menjadi kegemaran nelayan asing warga Vietnam menceroboh perairan Terengganu untuk ‘merompak’.

Menurutnya, sotong pada tahun ini didapati lebih banyak di perairan Terengganu dan sememangnya ia dinantikan nelayan asing terbabit.

“Sotong perairan kita merupakan sotong kategori gred A dan mereka ini (nelayan asing) memang ghairah untuk ceroboh masuk merompak sotong kita.

“Oleh kita, kita minta pihak APMM bersedia untuk lebihkan kawalan dalam usaha menyekat kemasukan bot-bot nelayan asing ini,” katanya.

Mohd Shahrul berkata, kebanjiran sotong di perairan kali ini mencatat sejarah sekali gus memberi peluang rezeki berganda kepada nelayan.

Seorang lagi nelayan, Mohamed Noor Yusof, 62, berkata, sepanjang keluar memukat sotong dia belum terserempak dengan bot nelayan asing.

“Nelayan asing ini cukup biadap, mereka gunakan kaedah pukat tunda ganding. Sekali tunda, bertan-tan sotong kita mereka sapu.

“Mereka tahu, mutu sotong kita bernilai sangat tinggi dan mereka akan jual dengan mengaut keuntungan berlipat kali ganda di negara mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon APMM Kemaman Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, pihaknya sentiasa giat menjalankan rondaan bagi mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan Terengganu.

Menurutnya, pihaknya sentiasa menggerakkan aset dan kapal peronda mengawal sehingga ke sempadan Kelantan termasuk kawasaan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE),” katanya.

Sumber: METRO