Pelajar Cemerlang SPM Imamkan Solat Jenazah Ibu, Urus Hingga Liang Lahat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BACHOK – Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Syahril Saidi melaksanakan bakti terakhir buat ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail dengan mengimamkan solat jenazah, hari ini.

Dia juga tenang menguruskan hal pengebumian ibunya bermula dengan solat jenazah di Masjid Pondok Moden Kandis hingga ke liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lati, Jelawat yang turut menjadi tempat bapanya, Saidi Mat Jusoh disemadikan.

Kakaknya, Syazelin Saidi, 23, yang turut menjaga ibu mereka sebelum ini pernah menerima tawaran di tiga institusi pengajian iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Institut Pengajian Guru (IPG) pada 2017.

Bagaimanapun, Syazelin menolak kesemua tawaran itu demi menjaga ibunya yang sakit, dijaga bersama adik-beradik yang lain termasuk Syahril.

Syazelin mendapat 1A dan 4B selain lulus semua 10 mata pelajaran yang diambil, enam tahun lalu.

Selain mereka berdua, seorang lagi kakak Syahril, Syafina Saidi, 21, kini sedang mengikuti pengajian di Politeknik Kuantan, Pahang.

Menurut seorang guru mereka, Mimi Zairu Ahmed, semua enam adik-beradik Syahril itu belajar di Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang dekat ini.

“Syazelin kini bekerja di sebuah pasar raya, dialah yang menyuruh adiknya (Syafina) untuk sambung belajar, manakala dia ambil tugas bekerja dan jaga ibu,” katanya.

– BERITA HARIAN