FAM Sasar 20,000 Jualan Tiket Pengunjung Ke Festival Harimau Malaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 tiket terjual untuk pengunjung hadir ke Festival Harimau Malaya Terengganu 2023 bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antarabangsa pasukan Harimau Malaya di Stadium Sultan Zainal Abidin Terengganu, rabu ini.

Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Encik Noor Azman Rahyman berkata, dengan acara dan aktiviti-aktiviti dianjurkan, pihaknya yakin bahawa jumlah kehadiran pengunjung akan meningkat perlahan-lahan dalam tempoh penjualan tiket yang berbaki lagi dua hari.

“Himpunan penjualan tiket setakat ini telah hampir mencecah 5000. Insya-Allah berbekalkan dua hari lagi, pembelian tiket saat akhir kebiasaannya boleh mencecah dengan jumlah yang diharapkan” katanya pada majlis sidang media bersama penaja disini, hari ini.

Jelas beliau, pihaknya juga menjangkakan seramai 50,000 kehadiran pengunjung dari luar dan dalam negeri Terengganu.

Penyelaras acara FHM 2023, Muhamad Rafi Kori berkata, pihaknya menganjurkan festival ini adalah untuk melihat kemeriahan bersejarah sekaligus memberikan impak kehadiran pelancongan domestik daripada seluruh negara kepada dua perlawanan ini.

“Semakin ramai pengunjung yang hadir, semakin besar impak pulangan ekonomi dan boleh mencecah tidak kurang daripada 4 juta kepada peniaga dan usahawan tempatan.” tambahnya.

Selain itu, antara beberapa aktiviti yang ditonjolkan adalah Sesi TownHall bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Perlawanan amal bekas pemain kebangsaan Terengganu, dan Ziarah Kasih Legenda.

Noor Azman berkata, pihaknya memilih SSMZA sebagai tempat perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea kali ini adalah kerana kualiti padang yang kedua terbaik di Malaysia serta mempunyai kemudahan fasiliti yang lengkap.

“Bagi pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia, kami sangat mengalu-alukan peminat-peminat Harimau Malaya datang beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan persahabatan dan program-program yang telah diaturkan di festival ini” katanya.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM