Terengganu Inc Taja Sekolah Bagi Program UAV Pertama di Malaysia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Syarikat pelaburan induk strategik kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah memperuntukkan RM45,000 bagi menaja projek TI-BsAs Aeronautics UAV In-School Programme di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa.

Pengarah Eksekutif Terengganu Inc Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata program pendidikan pesawat tanpa pemandu (UAV) itu merupakan yang pertama diadakan di sekolah di negara ini, bertujuan menanam minat pelajar dalam bidang aeroangkasa yang melibatkan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, program itu menyasarkan pelajar tingkatan satu susulan pengenalan subjek baharu iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Asas Sains Komputer (ASK) dalam silibus akademik sekolah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Program pendidikan aeroangkasa ini dijalankan selama empat tahun bermula tahun ini.

“Ini ialah satu daripada sumbangan syarikat dalam meningkatkan prestasi bidang STEM ke arah mengembangkan kemahiran sumber manusia untuk menjayakan Revolusi Industri Keempat (IR4.0),” katanya pada majlis perasmian program pendidikan UAV SMK Bukit Sawa di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sementara itu, guru penasihat program Badrul Hisyam Zakaria berkata pihaknya bekerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk penyediaan modul latihan dan pembelajaran.

Menurut beliau, proses pemilihan tujuh pelajar untuk projek berkenaan sedang dijalankan untuk menilai kecenderungan dan minat masing-masing dalam bidang sains dan teknologi.

“Sasaran kita untuk menghasilkan pelapis tenaga pakar dalam bidang aeroangkasa dengan penekanan daripada peringkat awal sekolah,” katanya.

— UNIT BERITA MANIS FM