Kelantan Sasar Jadi Pengeluar Utama Daging Negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BACHOK – Kerajaan Kelantan menyasarkan negeri itu menjadi pengeluar utama daging dalam negara dengan pelaksanaan Projek Penternakan Lembu Pedaging (Hibrid) bermula September depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata projek menerusi Perbadanan Negeri Kelantan itu menerima peruntukan sebanyak RM1.89 juta bagi memastikan ia dilaksanakan sepenuhnya di Ladang Rong Chenok, Pasir Mas dengan keluasan 40.468 hektar.

Beliau berkata setakat ini Kelantan mempunyai sebanyak 24,291 ekor lembu hibrid berkualiti bersamaan sebanyak 94.4 peratus jumlah lembu hibrid di Malaysia dengan bilangan penternak di negeri ini seramai 5,500 orang.

“Nilai ternakan ini adalah lebih RM193 juta di seluruh Kelantan dengan pengeluaran daging sebanyak 5,518.2 tan metrik membabitkan 22 ladang pengeluar yang diiktiraf oleh Jabatan Veterinar.

“Kita kagum dengan usaha rakyat Kelantan malah dengan nisbah 94.4 peratus yang dikeluarkan oleh penternak kita, saya yakin kita akan menjadi pengeluar daging hibrid terbesar di Malaysia sekali gus dapat memenuhi keperluan daging dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak & Nelayan Negeri Kelantan 2023 di Pantai Irama di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan ismail.

Terdahulu, Ahmad menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi rekod Himpunan Terbesar Lembu Hibrid yang diserahkan oleh wakil rasmi MBOR Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi.

Mengulas mengenai pengiktirafan MBOR berkenaan beliau berkata sebanyak 213 lembu hibrid daripada seluruh negeri dihimpunkan sempena Hari Peladang, Penternak & Nelayan Negeri Kelantan 2023 yang berlangsung semalam hingga Ahad ini.

“Lembu berkenaan terdiri daripada 87 ekor Charolais, Limousin (85), Belgian Blue (12), Blonde (19) selain pelbagai baka (10). Penyertaan ini disertai oleh seramai 113 penternak dengan nilai ternakan lembu dianggar lebih RM2 juta,” katanya.

– BERNAMA