Pelajar Cemerlang 11A Pilih Maahad Di Bachok, Mahu Duduki STAM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BACHOK: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 11A Muhammad Syahril Saidi memilih untuk meneruskan pelajarannya di Maahad Yaakubiah di Kampung Nipah di sini, walaupun ada menerima banyak tawaran.

Syahril, 18, berkata, dia mahu meneruskan pelajaran di tingkatan enam dan menduduki Sijil Pelajaran Tinggi Agama (STAM) sebelum memilih untuk meneruskan pengajiannya.

Menurutnya, jurusan yang akan diambil nanti adalah dalam bidang agama di mana-mana pusat pengajian, universiti dalam atau luar negeri.

“Kalau saya nak terima mana-mana tawaran, urusan berkenaan akan dibincang bersama keluarga dan pihak berkaitan.

“Cuma setakat ini, saya boleh cakap, saya akan kembali ke sekolah (Maahad Yaakubiah) selepas seminggu bercuti menguruskan kematian Umi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kandis di sini, hari ini.

Syahril berkata, dia juga berterima kasih atas keprihatinan orang ramai yang hadir ke rumahnya setiap hari selepas tular kisahnya menjaga ibu yang sakit, Allahyarhamah Tuan Faridah Tuan Ismail, 53.

“Cuma bagi saya, kita dah boleh tutup (perhatian) terhadap saya, bagi menghormati kehidupan ahli keluarga lain seperti kakak, ibu bapa saudara, sebab ada juga yang ambil kesempatan dengan mengaku ahli keluarga, saya risau juga keselamatan ahli keluarga lain,” katanya yang memohon orang ramai memahami keluarganya.

Kediaman Syahril masih dikunjungi ramai orang walaupun hampir seminggu berita kejayaannya dan kehilangan ibunya pada Sabtu lalu.

Kisah Syahril tular selepas kisahnya menjaga ibu yang terlantar akibat angin ahmar namun berjaya memperoleh 11A dalam keputusan SPM yang diumumkan pada 8 Jun lalu.

Sumber: METRO