Tukang Sarung, Hulu Pisau Hilang Pendapatan Selepas Kaki Dipotong

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA BERANG: “Aidiladha yang bakal disambut hujung bulan ini boleh saya sifatkan sebagai paling suram kerana semua tempahan sarung, hulu senjata tajam terpaksa ditolak,” kata Wan Omar Wan Mansor dari Kampung Bukit Diman dekat sini.

Menurutnya, dia terpaksa berbuat demikian berikutan sebahagian kaki kanannya terpaksa dipotong kerana masalah penyakit kencing manis kronik yang dihidapinya.

Katanya, kebiasaan satu atau dua bulan sebelum Aidiladha, dia perlu menyiapkan kira-kira 240 sarung berserta hulu pisau atau golok yang ditempah.

“Bulan biasa sekitar 60 unit saja namun apabila tiba raya korban tempahan meningkat 200 peratus namun tahun ini saya terpaksa menolak kesemua tempahan atas faktor kesihatan.

“Keinginan untuk membuat sarung dan hulu senjata masih menebal namun akibat pergerakan terbatas kerana baru menjalani pembedahan memotong sebahagian kaki membuatkan saya melupakan hasrat itu.

“Sebelum perayaan biasa pelanggan akan menempah pisau menyembelih, melapah dan memotong tulang dengan tukang besi.

“Selepas itu, mereka akan mengupah saya pula untuk membuat sarung serta hulu dengan harga RM70 hingga RM2,500 seunit,” katanya.

Menurutnya, kini dia hilang punca pendapatan dan buat masa ini hanya bergantung hidup dengan bantuan ahli keluarga dan adik-beradiknya.

Katanya, permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dibuat dan dimaklumkan permohonannya sedang diproses.

“Sebelum menumpukan sepenuhnya dalam bidang membuat sarung senjata, saya sebelum ini turut membuat pelbagai senjata antaranya pisau, keris, golok, parang dan sebagainya,” katanya.

Sumber: METRO