Sektor Pelancongan Berkaitan Penyu Kembali Rancak Di Terenganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN – Kerajaan Negeri bertekad untuk merancakkan kembali aktiviti pelancongan berasaskan pengalaman bersama dengan penyu (Terengganu Turtle Experience Tourism) di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata kegiatan tersebut merupakan sektor ekonomi yang perlu diberikan suntikan baharu, dalam membangunkan sesuatu produk pelancongan.

“Kita perlu pastikan ia dibina dalam kerangka ESG (Environmental, Social and Governance) yang menjadi kayu pengukur kepada tahap kelestarian sesuatu aktiviti perniagaan.

“Ringkasnya, aktiviti pelancongan berasaskan penyu perlu mengutamakan isu alam sekitar, komuniti setempat dan diurus tadbir dengan sistematik agar kekal lestari,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian program Kempen Penggalakan Terengganu Turtle Tourism Peringkat Negeri Terengganu Sempena Hari Sambutan Penyu Sedunia Tahun 2023 bertempat di Dataran Rantau Abang, Dungun di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria dan Presiden Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

Tambah Bijaya Raja, program ini diadakan bersempena Hari Penyu Laut Sedunia pada tanggal 16 Jun 2023.

Beliau berkata, program ini juga melalui anjuran bersama Jabatan Perikanan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Ia bertujuan bagi meningkatkan lagi kesedaran kepada orang awam terhadap kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan penyu di negeri ini,” ujarnya.

Di samping itu, inisiatif ini dapat mempromosikan negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan ikonik penyu yang terunggul dalam negara.

Sementara itu, Terengganu kini berjaya merekodkan pengeraman dan penetasan 807,315 telur penyu Agar Dan Karah pada 2022 berbanding 600,667 pengeraman telur penyu spesis yang sama pada 2021.

“Peningkatan sebanyak 34.4 peratus atau 206,648 pengeraman telur itu membuktikan Masyarakat terutama peniaga mula sedar tentang kesalahan menjual dan memakan telur Penyu,” katanya.

– UNIT BERITA MANIS FM