Cemerlang Dalam SPM 2022 Meskipun Jaga Nenek Terlantar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG: Menggalas tanggungjawab menjaga nenek yang terlantar sakit tidak menghalang remaja lelaki memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumum, baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Muhammadi, di sini, Ahmad Sharimie Hasani, 18, yang memperoleh keputusan 7A tekun menjaga neneknya, Hamisah Long, 80, dan turut bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan.

Ahmad Sharimie berkata, neneknya terlantar sejak tahun lalu akibat penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Katanya, bapa saudaranya, Sufian Abdullah , 40, turut membantu menguruskan neneknya dan dia akan mengambil alih tugas menjaga neneknya jika lelaki terbabit keluar bekerja.

“Saya sayangkan nenek kerana hanya dia sajalah orang tua yang saya ada dan dia menjaga saya sejak berusia lima tahun.

“Sebulan lalu kami terpaksa menelefon ambulans kerana nenek mengalami masalah kurang gula dalam darah sehingga dia terpaksa ditahan di wad Hospital Gua Musang,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Sharimie dikunjungi Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMA Maahad Muhammadi, Abdullah Hussein di rumahnya di RPT Kesedar Sungai Terah, di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas bapanya, Hasani Abdullah meninggal dunia ketika usianya lapan tahun, dia mula dijaga sepenuhnya oleh nenek dan bapa saudaranya.

Katanya, kesusahan hidup menyebabkan dia berdikari dengan melakukan kerja sambilan sambil bersekolah sejak berusia 14 tahun.

“Biasalah kita orang susah kena cari duit sendiri. Banyak kerja saya buat bagi mencari duit belanja kerana tidak mahu membebankan nenek dan bapa saudara.

“Sebagai contoh pada tahun lalu, saya kerja di kedai ayam proses selepas pulang dari sekolah selepas dapat keputusan Sijil Menengah Ugama (SMU). Selain itu saya juga pernah bekerja di pasar minggu dan buruh binaan,” katanya.

Katanya, dia berharap dapat melanjutkan pelajaran ke institut pendidikan guru (IPG) bagi mengejar cita-citanya sebagai seorang ustaz.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulur sumbangan melalui akaun Maybank 153048069885 atas nama Ahmad Sharimie Hasani.

Sumber: METRO