Pelukan Jadi Kenangan Terakhir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN – “Kelmarin, ketika kali terakhir bertemu arwah, Nik Nur Faqihah Nik Mohd Khairul Hisyam, dia memeluk saya sambil menyatakan rindu selepas seminggu tidak bertemu.

“Arwah amat rapat dan manja dengan saya, dia (arwah) memanggil saya ‘Umi’,” kata jiran mangsa, Syarifah Hasnah Syed Noh, 59

Syarifah Hasnah berkata, arwah seorang kanak-kanak yang cerdik, bijak dan pandai berdikari serta ramah kepada semua orang.

Katanya, mereka tinggal berjiran lebih setahun lalu selepas keluarga berkenaan berpindah, sebelum ini mereka menetap di Kemaman, Terengganu.

“Saya masih teringat apabila arwah memeluk erat saya seolah-olah ingin berpisah sebelum menaiki motosikal sambil melambaikan tangan.

“Saya tidak menyangka itu pertemuan terakhir kami. Kenangan itu tidak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila, saya anggap arwah sebagai cucu sendiri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, tiga beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir dekat Kampung Langgar di sini.

Mangsa yang maut ialah Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, Nik Nur Faqihah, 11 dan Nik Ikram Nuqman, 5 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagi jiran keluarga mangsa, Mohd Ansori Ishak, 78, berkata petang kelmarin, arwah Nik Nur Faqihah dan Nik Ikram Nuqman datang ke rumahnya sebanyak untuk bertemu dan bermain dengan cucunya yang sebaya mereka.

“Sebagai jiran kehilangan tiga beradik itu amat terasa apabila kami berjiran selepas keluarga terbabit berpindah ke Kampung Langgar lebih setahun lalu.

“Arwah dua beradik selalu datang ke rumah saya, Nik Nur Faqihah seorang kanak-kanak yang ceria dan mudah mesra,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai anggota polis.

– BERITA HARIAN