Azizulhasni Impi Naik Podium Bersama ‘The Terminator’ Di Paris

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi ‘jawapan’ kepada pertanyaan yang ditinggalkan Datuk Azizulhasni Awang dalam hantarannya di laman sosial selepas jaguh berbasikal negara itu berkongsi detik manis ketika Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nilai, baru-baru ini.

Kejohanan itu menyaksikan Azizulhasni berjaya meraih dua pingat emas masing-masing dalam acara pecut dan keirin individu dan bagi atlet berusia 35 tahun itu, detik paling manis baginya adalah berkongsi pentas podium acara keirin bersama rakan seperjuangannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Shah meraih gangsa dalam acara berkenaan selepas menunjukkan semangat juang tinggi, tetap berkayuh sehingga garisan penamat pada saingan separuh akhir meskipun basikal yang digunakan ranap selepas terbabit dalam satu pelanggaran yang hampir meragut peluang ke final selepas itu.

Di separuh akhir berkenaan, basikalnya dilanggar pelumba China, Qi Liu sehingga menyebabkan empat pelumba terbaring di trek namun Shah menunjukkan semangat juang tinggi untuk menghabiskan kayuhan, tanpa menyedari yang pelana basikalnya patah dan mengalami luka di bahagian kelangkang dan badannya.

Kekentalan ditunjukkan Shah itu secara tidak langsung menjadi sebab untuk Azizulhasni menggelarkan rakan sepasukannya itu sebagai Shah ‘The Terminator’ Firdaus dan dalam hantaran terbarunya, Azizulhasni menulis: “Kalau ditanya apakah ‘best moment’ sepanjang Kejohanan Asia Championship Nilai 2023 baru ini?

“Bagi saya adalah berkongsi podium dengan rakan sepasukan saya iaitu Shah ‘The Terminator’ Firdaus. Melihat keadaan beliau kemalangan di pusingan separuh akhir itu memang tak boleh ‘brain’, macam mana beliau masih boleh gigih berkayuh dengan basikal yang patah semata-mata ingin menamatkan perlumbaan.

“Bakat, saiz fizikal dan sebagainya kita boleh cari. Akan tetapi semangat juang (fighting spirit) yang tinggi adalah sesuatu yang amat jarang untuk ditemui. Saya berharap akan lebih banyak lagi ‘moment’ dan peluang untuk kami berdiri bersama-sama di atas podium, terutamanya di…?.”

Hantaran Azizulhasni itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-ratanya mahu gandingan ini mampu mengulangi detik indah itu di Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hngga 11 Ogos ini.

Salah satu daripadanya menulis: “Semoga mencapai kejayaan di Sukan Olimpik 2024 untuk Dato Jijo (Azizulhasni) dan Shah Terminator Firdaus”.

“InsyaAllah gandingan The Pocket Rocketman dan The Terminator akan layak ke final keirin Sukan Olimpik Paris 2024 nanti,” tulis salah satu komen berlainan.

Selain itu, ada komen yang bersetuju dengan apa yang diperkatakan Azizulhasni dengan menulis: “Fighting spirit yang sangat hebat. Betul tu, tak guna setakat ada bakat tetapi tak disertai dengan semangat juang yang tinggi.”

– BERITA HARIAN