Runtuhan Benteng Pecah Bahayakan Keselamatan Orang Ramai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Runtuhan penghadang ombak berhampiran Jambatan Angkat atau drawbridge yang belum dibaikpulih membahayakan keselamatan orang ramai, termasuk pelancong.

Tinjauan di kawasan runtuhan termasuk laluan pejalan kaki sejauh kira-kira 50 meter mendapati kerja membaik pulih penghadang ombak belum dilakukan manakala tiada tali amaran keselamatan direntang.

Kawasan runtuhan menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong untuk merakamkan gambar berlatar belakangkan menara Jambatan Angkat setiap kali cuti am.

Benteng penghadang ombak itu pecah menyebabkan berlakunya runtuhan tanah disebabkan fenomena air pasang besar pada akhir tahun lalu.

Tinjauan di kawasan berhampiran muara Sungai Terengganu itu turut mendapati benteng penghadang ombak yang dibina pecah serta hampir tumbang manakala tiang lampu terbalik dan laluan pejalan runtuh.

Seorang pelancong, Fitri Mohamad Abdullah, 39, dari Johor Baharu, berkata pihak berkenaan sepatutnya memasang tali amaran atau papan tanda bagi mengelakkan kanak-kanak bermain di kawasan itu.

Katanya, laluan pejalan kaki yang runtuh menjadi tumpuan orang ramai terutama kanak-kanak untuk melihat secara lebih dekat pergerakan bot memasuki muara Sungai Terengganu.

“Ketiadaan papan tanda amaran atau tali penghadang boleh mengundang padah jika orang ramai terutama kanak-kanak terjatuh ke dalam runtuhan,” katanya.

Suri rumah, Noraidah Salim, 43, dari Kuantan, Pahang, berkata tiga anaknya berusia antara sembilan dan 12 tahun hampir terjatuh ke dalam runtuhan disebabkan tiada papan tanda amaran diletakkan di kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, anaknya bernasib baik kerana sempat diselamatkan beberapa pengunjung lain ketika berlari ke lokasi runtuhan untuk melihat beberapa bot nelayan yang memasuki muara sungai.

“Bagi memastikan keselamatan orang ramai, terutama kanak-kanak, pihak berkuasa perlu meletakkan papan tanda amaran selain merentangkan tali amaran,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif, berkata pihaknya sudah memasang tali amaran beberapa meter daripada lokasi runtuhan.

Bagaimanapun, katanya, tali amaran dipasang ditanggalkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Sejak kejadian runtuhan berlaku, kita sudah memasang lebih tujuh kali tali amaran, tetapi semuanya ditanggalkan.

“Kita bercadang menggunakan kaedah lain termasuk memasang besi penghadang dan papan tanda amaran bagi mengelakkan orang ramai memasuki kawasan runtuhan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

– BERITA HARIAN