KOPERAT Serah Dividen RM 580 ribu kepada GPQ, Pesama Timber

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd (KOPERAT), akan terus memberikan komitmen yang tinggi dengan pembayaran dividen berjumlah RM 580,055 kepada syarikat-syarikat pemegang saham, GPQ Sdn Bhd dan Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (Pesama).

Pengerusi KOPERAT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, syarikatnya kini telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan 2022 berbanding tahun sebelumnya sekaligus membolehkan KOPERAT membuat bayaran dividen kepada pemegang sahamnya.

“Dengan keuntungan yang diperolehi bagi tahun 2022, membolehkan KOPERAT membuat bayaran dividen berjumlah RM 580,055 kepada dua pemegang saham iaitu GPQ Sdn Bhd dan Pesama Timber Corporation Sdn Bhd.

Masing-masing memegang 65 peratus dan 35 peratus yang mana jumlah untuk GPQ adalah sebanyak RM377,036 dan Pesama RM203,019” katanya.

Jelasnya lagi, keuntungan itu telah merekodkan peningkatan penjualan rumah sebanyak 11.4 peratus iaitu RM18.5 juta bagi tahun 2022 berbanding RM16.2 juta pada tahun sebelumnya bagi tempoh yang sama.

“Rekod penjualan yang meningkat itu adalah hasil daripada jualan unit-unit rumah yang dibina terutamanya di Taman Rakyat Bistari, Bukit Kuang, Kemaman dan Taman Koperat Ukhwah, Pulau Serai, Dungun.” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas Majlis Penyerahan Dividen Tahun Kewangan 2022, di sini, hari ini.

Turut hadir bersama ialah Pengerusi GPQ, Dr Mamad Puteh, Pengerusi Pesama, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Pengurus besar KOPERAT, Tuan Sayed Abdul Rahman Engku Sulong.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut berkata, buat masa ini, KOPERAT sedang menyiapkan 237 unit di Kemaman, Besut dan Kuala Nerus dan akan membangunkan 924 unit rumah yang bakal disiapkan dalam tempoh 4 tahun secara berfasa.

Daripada jumlah tersebut, 564 unit akan dibangunkan di Alor Limbat, Marang yang dijangka pelancarannya akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Besar pada 27 Julai 2023.

“Projek perumahan yang kita bina setakat ini mendapat sambutan yang baik daripada orang awam dan kami turut mencari alternatif baru untuk mendapatkan tanah baharu yang lebih strategik bagi membina unit rumah untuk masa hadapan di semua daerah dalam negeri Terengganu” katanya lagi.

Difahamkan juga rekod keuntungan berterusan pada tahun sebelumnya ialah sebanyak RM500,000 pada tahun 2019, RM700,000 pada dua tahun berikutnya dan meningkat kepada RM1.7 juta pada tahun 2022.

“Insya-Allah pada tahun akan datang, berdasarkan pada perancangan yang dibuat, kita jangka bahawa KOPERAT akan terus mencatatkan peningkatan yang lebih baik” tambahnya.

Sementara itu, Pesama, pemegang saham kedua terbesar KOPERAT turut menyerahkan sumbangan pampasan insurans dan khairiat kematian kakitangan syarikat yang berjumlah RM62,000 kepada waris keluarga kakitangan itu.

Penerima-penerima tersebut ialah Noriza Embong dan Azizoah Mohd Arifi yang keduanya telahpun kehilangan suami akibat kegagalan buah pinggang.

“Jumlah pampasan insurans yang diterima adalah daripada Takaful Malaysia sebanyak RM21,000 dan AIA Bhd berjumlah RM10,000,” kata Ir Saiful Azmi.

-UNIT BERITA MANIS FM