Kerajaan Perkasa TVET Melalui Kerjasama Awam-Swasta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kerjasama strategik antara penggiat industri swasta dan kerajaan akan terus diperkukuh bagi memperkasakan industri Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

Kerjasama itu dilihat penting bagi menyelesaikan isu pembaziran pengajian dengan kehendak pasaran yang dihadapi pelatih TVET tempatan.

Selain itu, inisiatif ini mampu membolehkan pelajar TVET mendapat latihan terbaik di pusat latihan yang tepat selain mampu meraih pendapatan yang sepatutnya.

Untuk rekod, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.7 bilion melalui Belanjawan 2023 yang dibentangkan Februari lepas bagi pelbagai inisiatif program TVET di bawah tujuh kementerian utama.

Peruntukan ini turut melibatkan pengambilalihan sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET termasuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), kolej komuniti dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) oleh 50 syarikat terpilih.

Pada awal Mei lepas, satu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara institusi TVET, Kolej Ketengah Sdn. Bhd. dengan Eastern Steel Sdn. Bhd. dan Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur telah berlangsung di Kuala Terengganu.

Langkah ini dilihat mampu menaikkan lagi kadar nilai kebolehpasaran graduan TVET dalam memenuhi kehendak industri yang semakin meningkat.

– UNIT BERITA MANIS FM