Kerajaan Negeri Lancar Buku Kejayaan Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu telah membuktikan kejayaan mereka di dalam Majlis Pelancaran Kad Laporan Prestasi dan Buku Kejayaan Terengganu 2018-2022 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, ianya penting untuk memberikan maklumat tepat kepada rakyat dan juga pihak berkepentingan untuk membuat penilaian terhadap usaha-usaha mereka.

“Saya serahkan laporan ini kepada seluruh rakyat kerana mereka sendiri akan membuat penilaian dan akan menentukan keyakinan mereka kepada kami yang diamanahkan untuk mengurus tadbir negeri Terengganu ini.

Dari rakyat kami datang dan kepada rakyat kami serahkan kembali prestasi kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas melancarkan buku tersebut di Damai Lounge, U2, Wisma Darul Iman disini, semalam.

Menurut Ahmad Samsuri, pelancaran buku yang dipaparkan mempunyai dua versi iaitu cetak dan digital yang bukan sahaja boleh ditatap oleh rakyat negeri Terengganu, tetapi juga oleh sesiapa yang mempunyai akses internet.

“Pelaksanaan yang dibuat di dalam buku itu semuanya telah disempurnakan walaupun masih ada yang di dalam proses dan yang sedang ditambah baik.” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada kakitangan kerajaan termasuk pihak yang turut sama membantu bagi mengurus tadbir kerajaan negeri sepanjang tempoh tahun 2018 sehingga 2023.

“Saya berasa sangat gembira kerana perkara-perkara yang kami janjikan daripada 5 tahun dahulu dapat dilaksanakan serta diselesaikan sepanjang tempoh ini,” katanya.

– UNIT BERITA MANIS FM