‘Benarkan Pekerja Pulang Mengundi’ – Mustapha

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Kementerian Sumber Manusia (KSM) mahu majikan membenarkan pekerja masing-masing untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, bagaimanapun, berkata pihaknya tidak bercadang untuk mengeluarkan sebarang pekeliling berhubung perkara itu, mengambil kira peruntukan sedia ada dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Akta sedia ada menyebut mana-mana majikan yang enggan membenarkan pekerja keluar mengundi boleh didenda sebanyak RM5,000 atau penjara setahun.

“Semua majikan kena patuh untuk benarkan pekerja mereka balik mengundi dan kepada pekerja, kalau ada majikan tidak benarkan mereka pulang mengundi sila laporkan ke Jabatan Tenaga Kerja atau agensi kami yang lain untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sesi Libat Urus TRIPARTITE 2023 Zon Timur di Institut Latihan Perindustrian Marang, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan hari penamaan calon PRN akan datang pada 29 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos.

Enam negeri terlibat PRN kali ini ialah Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

— BERNAMA