KPDN Kaji Guna ID Khas Untuk Beli RON95, Diesel Bersubsidi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempertimbang untuk menetapkan penggunaan pengenalan diri (ID) khas bagi tujuan pembelian petrol RON 95 dan diesel bersubsidi.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata langkah itu bakal diambil sejajar pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar tahun depan, yang mana ia dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini.

“Penggunaan ID untuk pembelian bahan api bersubsidi ini akan membantu KPDN dalam mengawal pembelian, sekali gus mengawal penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Jualan Rahmah Parlimen Kota Bharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Mas di Taman Desa Rahmat, Guchil Bayam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDN negeri Kelantan, Azman Ismail.

Mengulas mengenai PADU, beliau berkata sebelum ini setiap kementerian mempunyai pangkalan data berbeza.

Memberi contoh untuk subsidi bersasar petrol, katanya pihaknya memerlukan pangkalan data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Melalui pengumpulan pangkalan data kedua-dua agensi ini, barulah kita boleh mengenal pasti siapa yang benar-benar layak menerima subsidi berkenaan.

“Jadi untuk mengabungkan semua data ini, punca kuasanya ada pada PADU yang juga menjadi agensi di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan semua data perlu dikemas kini dan dibersihkan,” katanya.

Mengenai jangkaan harga barang meningkat, Fuziah berkata ia sesuatu yang tidak berdasarkan fakta kerana indeks harga pengguna atau inflasi menunjukkan penurunan.

“Buktinya, indeks harga pengguna dan inflasi pada April adalah 3.3 peratus, manakala pada Mei ialah 2.8 peratus…ia jelas menunjukkan penurunan.

“Malah pada November tahun lalu, indeks lebih tinggi dengan catatan 4.0 peratus. Apa yang kita boleh lihat di sini, indeks ini semakin mereda dan kami yakin harga barangan akan terus stabil dari semasa ke semasa.

“Harga barangan turun dan naik juga berlaku atas beberapa faktor seperti membabitkan kos pengeluaran, barangan diimport, mata wang asing serta faktor cuaca,” katanya.

Jelasnya, KPDN akan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi memastikan tiada peniaga meletakkan harga lebih daripada sewajarnya bagi melindungi hak pengguna.

– BERITA HARIAN