Ahmad Amzad Sedia Pertahan Kerusi Parlimen Kuala Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Penyandang Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim memberi bayangan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Bagaimanapun bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, berkata keputusan menentukan kedudukannya sama ada bertanding atau tidak diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangannya di Parlimen Kuala Terengganu, baru-baru ini.

“Mungkin ada pertimbangan lain, strategi lain dan sebagainya. Saya tidak ada masalah, apa saja amanah yang diberikan parti, saya akan berusaha bersungguh-sungguh.

“Keputusan bertanding atau tidak kena tunggu daripada PAS Pusat, layak bertanding bukan semestinya saya (dipilih sebagai calon) tetapi sekiranya diberi ruang dan peluang, saya bersedia untuk mempertahankan kerusi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ceramah pasca bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Kambing, di sini, malam tadi.

Ahmad Amzad berkata, sekiranya pimpinan parti menampilkan calon lain bertanding di kerusi berkenaan pada PRK nanti, beliau berlapang dada dan akan memberi sokongan penuh dan berkempen bagi membantu calon yang dipilih itu memenangi kerusi berkenaan.

“Insya-Allah, saya akan berkempen untuk pastikan kemenangan (calon) Perikatan Nasional (PN) yang diwakili PAS dalam PRK itu nanti,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad daripada PAS bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pada pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun, PAS memutuskan tidak membuat rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kuala Terengganu esok.

– BERITA HARIAN