JOHOR BAHRU – “Saya bukan selalu melakukan rembatan dari jarak jauh tapi saya ada keyakinan dan tak sangka ia menerjah jaring,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Shio Hong Wan yang membuka tirai jaringan ketika menentang Kuala Lumpur City pada final Piala FA malam tadi.
Pemain tengah itu dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir selepas mereka mengalahkan KL City 2-0 di gelanggang keramat mereka Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Hong Wan yang tidak dikawal meledak rembatan padu dari jarak 30 meter pada minit ke-65 untuk menewaskan penjaga gol Kevin Mendoza sekali gus memecah kebuntuan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.
“Aksi final yang sukar bagi kami. KL City tampil dengan corak permainan berbeza yang lebih tersusun sepanjang 70 minit permainan. Malah mereka bermain secara kompak dan pantas melakukan serangan balas.
“Syihan (Hazmi Mohamed) menyelamatkan kami apabila menepis bola yang sememangnya gol dan kami tidak menoleh ke belakang apabila turun beraksi pada babak kedua selepas agak tertekan di babak pertama.
“Siapa sangka ketika itu saya berada di posisi terbaik selepas menerima bola dari Afiq (Fazail) dan tanpa menunggu masa saya merembat bola malah bola itu terus tepat ke penjuru kiri gawang untuk menghasil gol pertama buat kami,” katanya.
Ditanya sama ada dia layak dianugerahkan pemain terbaik, Hong Wan dengan rendah diri menyatakan gelaran itu sepatutnya diberikan kepada Syihan yang beraksi cemerlang sepanjang 90 minit.
“Secara peribadi, saya tidak layak untuk bergelar pemain terbaik perlawanan kerana Syihan lebih berhak selepas dia menyelamatkan kami daripada ketinggalan 1-0. Saya gembira dengan jaringan itu tetapi semuanya adalah hasil kerja keras sepasukan,” katanya.
Bekas pelatih remaja Wolverhampton Wanderers itu juga berasa bertuah kerana memiliki ketua jurulatih, Esteban Solari yang sentiasa memberikan keyakinan kepadanya untuk beraksi selain mempercayai kemampuannya.
– BERITA HARIAN