KUALA TERENGGANU – Sambutan Bulan Kebangsaan di Terengganu disemarakkan lagi dengan siri jelajah Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dengan berkonsepkan Penyerahan Jalur Gemilang ke seluruh negara dan diserahkan di setiap sempadan negeri.
Negeri Terengganu menjadi Negeri keenam bagi Siri Kembara Merdeka Jalur Gemilang Tahun 2023 (KMJG). Penerimaan Jalur Gemilang dari Negeri Kelantan dijangka pada 24 Julai 2023 (Isnin) jam 2.00 petang yang akan dibawa oleh Ketua Konvoi Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Encik Muhd Nor Aswadi Bin Mohd Nor (Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan) dan diserahkan kepada Encik Sait Bin Yaman, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu selaku ketua konvoi di Pintu Gerbang Kampung Pachakan, Kuala Besut.
KMJG 2023 peringkat Negeri Terengganu pada 25 Julai 2023 (Selasa) melibatkan lima checkpoint iaitu perlepasan kembara di Checkpoint 1 (Daerah Besut) Dataran Parkir Masjid Al-Jamhuriah Kuala Besut, Checkpoint 2 (Daerah Setiu) Felda Chalok Barat, Checkpoint 3 (Daerah Hulu Terengganu): SMK Matang dan Pondok KRT Tok Randok, Checkpoint 4 (Daerah Dungun) SMK Jerangau dan berakhir di Checkpoint 5 (Kemaman): SMK Seri Cheneh.
Sebanyak 9 buah kenderaan dari pelbagai Jabatan seperti Jabatan Penerangan Terengganu, Telekom, Pos Malaysia dan Pejabat Kesihatan Besut akan menyertai KMJG tahun ini. Turut serta memeriahkan KMJG adalah 11 unit motosikal berkuasa tinggi (K16) dari Kelab BMW K16 Malaysia.
KMJG ini bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Jabatan Penerangan Negeri Terengganu mengambil inisiatif untuk menyemarakkan dan menggelorakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan mendekati komuniti di kawasan felda dan juga pelajar-pelajar sekolah melalui program ini.
Penyerahan Jalur Gemilang kepada Negeri Pahang adalah pada 26 Julai 2023 (Rabu) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan.
Selain KMJG, Jabatan Penerangan Negeri Terengganu juga menganjurkan pelbagai program dan pertandingan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini seperti Semarak Gemilang, Pertandingan Sketsa Rukun Negara (melibatkan pelajar sekolah menengah dari Kelab Malaysiaku), Anugerah Semarak Gemilang dan lain-lain lagi.
– UNIT BERITA MANIS FM