TFC Buru Gol Awal Jumpa NSFC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Tomislav Steinbruckner menuntut anak buahnya mencari gol awal apabila Terengganu FC (TFC) melayan kunjungan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

Pengendali dari Croatia itu berkata, jaringan minit awal penting bagi menambah lagi motivasi pemain selain memberikan tekanan kepada pihak lawan lebih-lebih beraksi di tempat sendiri.

Katanya, keputusan seri 0-0 ketika berdepan PDRM FC pada aksi terakhir dua minggu lalu perlu dijadikan pengajaran berguna terutama jentera serangan dalam misi melakar kemenangan.

“Gol awal begitu penting bagi meningkatkan keyakinan pemain jika mahu menang selepas sekadar seri pada dua aksi terakhir berdepan KL City dan PDRM FC.

“Jadi saya sudah ingatkan pemain mengenai perkara itu (jaringan awal), tapi pemain juga perlu sabar dan terus berusaha mencipta gerakan menarik untuk menjaringkan gol jika ia tidak berlaku dalam masa yang diinginkan.

“Selain itu mereka juga perlu agresif dengan meningkat lagi daya dan kemahuan yang tinggi berbanding pihak lawan dan pada masa sama berjuang habis-habisan hingga minit terakhir perlawanan tanpa ada sikap berputus asa,” kata Steinbruckner.

Bekas pengarah teknikal TFC itu bercadang menurunkan pemain kelahiran Croatia, Ivan Mamut untuk mengetuai jentera serangan.

“Seperti kita tahu penyerang dari Thailand, Adisak Kraisorn sudah beberapa hari tidak menjalani latihan selepas menentang PDRM FC tempoh hari kerana masih dibelenggu kecederaan, begitu juga dengan Azam Azmi Murad yang juga belum cergas sepenuhnya.

“Jadi saya akan mempertaruhkan Mamut dan Sony Norde di jentera serangan dan dibantu oleh pemain tempatan, namun saya tidak begitu bimbang kerana dua pemain baharu, Nurillo Tukhtasinov dan Nor Hakim Hassan juga mampu bertindak sebagai penjaring gol seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

– BERITA HARIAN