20 PRPA Ditempatkan Seluruh Negara – Dr Zaliha

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Sebanyak 20 lokasi Pusat Operasi Perkhidmatan Rawatan Pra Hospital dan Ambulans (PRPA) Titik Panas (Hotspot), yang dikendalikan oleh St. John Ambulans Malaysia (SJAM) telah ditempatkan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata perkhidmatan itu, diperkenalkan bagi membantu mengurangkan masa tindak balas perkhidmatan ambulans, ketika kecemasan.

“Bagi memastikan kualiti perkhidmatan dan masa tindak balas dicapai, pihak SJAM sedang berusaha untuk memperoleh kenderaan ambulans, peranti dan peralatan perubatan baharu.

“Purata masa respons dengan pelaksanaan PRPA titik panas ini ialah selama 15 minit, sekitar radius 10 hingga 15 kilometer. Oleh itu, kita harap usaha ini akan diteruskan secara berperingkat di lokasi-lokasi yang lain pula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PRPA Titik Panas (Hotspot) Kota Bharu, Sempena Hari Terbuka dan Program Komuniti Masyarakat di Masjid Al-Fattah dekat Kampung Nilam, di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata pihak SJAM turut menyasarkan untuk menempatkan 111 unit Peranti Defibrilator Luaran Automatik (AED), di seluruh negara.

“Setakat ini, sebanyak 73 AED telah ditempatkan di lokasi seperti pusat beli-belah, stesen pengangkutan awam, sekolah, tempat beribadat, pejabat kerajaan dan sebagainya di Lembah Klang.

“Hari ini buat pertama kalinya kita berikan tiga unit AED ditempatkan di luar daripada kawasan Lembah Klang, iaitu di negeri Kelantan, di Masjid Al-Fattah, Pasar Siti Khadijah dan Kompleks Belia dan Sukan Panji,” katanya.

— BERNAMA