Mayat Pemandu, Kelindan Tersepit Hampir 4 Jam Bawah Lori

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG – Seorang pemandu lori bersama kelindan maut selepas kenderaan berat membawa muatan minyak kelapa sawit itu terbabas sebelum terbalik ketika melalui laluan berselekoh di Jalan Paloh 3-Lebir, di sini, hari ini.

Difahamkan, kedua-dua mangsa iaitu Yahya Jusoh, 36, yang memandu lori terbabit dan kelindan, Mohammad Hariz Zulkifli, 20, masing-masing dihempap bumbung lori dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Nor Azizi Che Noh, mengesahkan pihak bomba berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Kita mengambil masa agak lama selepas cubaan mengangkat dan mengalihkan kepala lori menggunakan jentera gagal.

“Pihak kami terpaksa mendapatkan bantuan jentera berat dari sebuah kilang berdekatan dan kepala lori dapat diangkat serta dialihkan bagi membolehkan pihak bomba masuk untuk mengeluarkan mangsa.

“Kedua-dua mangsa yang sudah meninggal dunia dikeluarkan jam 2.23 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, mengesahkan kemalangan berlaku kira-kira jam 10.30 pagi dengan siasatan awal mendapati lori jenis Volvo dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki kanan jalan sebelum terbalik.

“Akibat kejadian itu, pemandu lori bersama kelindan tersepit dan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

– BERITA HARIAN