Klopp Tergelak Cerita Mbappe Ke Liverpool

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SINGAPURA – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mentertawakan desas-desus Liverpool berunding dengan Paris Saint-Germain (PSG) untuk membawa penyerang Kylian Mbappe secara pinjaman setahun.

Kapten Perancis itu berbaki 12 bulan dalam kontrak semasanya di Parc des Princes dan memberitahu juara Ligue 1 itu dia tidak berhasrat untuk menyambung kontraknya di kelab itu.

Namun Klopp menafikan laporan Liverpool mungkin menjadi tempat persinggahannya selama setahun.

Ditanya mengenai kemungkinan mengikat Mbappe, Klopp memberitahu Sky Germany: “Kami mentertawakannya!

“Saya sedar dia seorang pemain yang amat bagus, tetapi dari segi kewangan ia tidak menyebelahi kami.

“Saya tidak mahu merosakkan cerita itu sekarang, tetapi setakat apa yang saya tahu, tiada apa mengenainya.

“Bagaimanapun ada kemungkinan seseorang di kelab ini menyediakan sesuatu dan mahu mengejutkan saya, tetapi ia tidak pernah berlaku dalam tempoh lapan tahun saya di sini. Ia mungkin menjadi yang pertama!”

– BERITA HARIAN