8 TIPS ‘MAINTAIN’ SUSU BADAN SEMASA BERPUASA
1. MINUM AIR SECUKUPNYA
Dari segi pemakanan, pengambilan air yang mencukupi amatlah penting. Ia membantu organ dalaman untuk berfungsi dengan baik sekaligus memastikan kelancaran proses penghadaman, pencernaan makanan, serta produksi susu badan.
Mungkin ada yang terfikir, bila masalah nak cukupkan 8 gelas air kalau berpuasa? Boleh rujuk carta di bawah seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Lebih elok lagi, ibu menyusu boleh minum setiap 1 jam di luar waktu berpuasa. Sediakan juga segelas air bagi setiap kali sebelum dan selepas mengepam.
2. MAKAN PROTEIN & KARBOHIDRAT KOMPLEKS
Pengambilan makanan tinggi protein seperti ikan semasa sahur dan berbuka boleh menghindari masalah low milk supply ketika berpuasa.
Tapi kalau tak sempat nak masak macam-macam, boleh amalkan pengambilan telur sebagai salah satu sumber protein yang paling mudah untuk disediakan. Ia juga kaya dengan asid lemak Omega 3. Ibu boleh mengolah telur rebus menjadi salad yang berkhasiat.
Menurut Persatuan Pemakanan Malaysia, ibu juga digalakkan mengambil lebih banyak karbohidrat kompleks (contohnya bijirin penuh, kacang, biji-bijian, oat, sayuran hijau dan pasta) kerana ia membekalkan tenaga secara perlahan-lahan sepanjang hari berbanding makanan lain.
3. TUKAR KUIH KEPADA BUAH / SNEK SIHAT
Kalau kita sering berbuka dengan juadah seperti kuih-muih dan manisan, seeloknya tukarkan kepada buah-buahan. Buah-buahan adalah sumber vitamin C dan serat yang penting untuk ibu menyusu.
Untuk snek atau kudapan pula, sediakan stok kurma, kismis, atau kekacang banyak-banyak. Selain mengawal nafsu makan, kita pun dapatlah menjaga berat badan tanpa menjejaskan penghasilan susu.
4. AMALKAN ‘GREEN JUICE’
Kalau tak berapa suka makan sayur sebagai salad atau lauk, cuba buat jus dari bayam, seleri, sawi atau sayuran hijau lain yang dicampur dengan sedikit buah-buahan. Green juice seperti ini sangat berkhasiat dan banyak manfaatnya untuk ibu menyusu.
Makanan yang berasal dari daun-daunan yang berwarna hijau juga salah satu sumber penting untuk memastikan ibu-ibu dapat ‘maintain’ susu badan ketika berpuasa. Ini kerana ia akan meningkatkan kandungan lemak dalam susu ibu selain dapat berfungsi sebagai penambah tenaga.
5. LEWATKAN BERSAHUR
Lambatkan waktu bersahur supaya ibu tidak terlalu cepat berasa lapar pada waktu siang. Bagi ibu yang ada anak kecil, mungkin boleh sediakan makanan lebih awal pada waktu malam supaya tak terkejar-kejar pada waktu sahur nanti.
Salah satu menu yang simple tetapi cukup berkhasiat yang mudah untuk disediakan untuk ibu mengandung adalah overnight oats atau jus kurma susu.
6. ELAK MAKANAN MASIN
Menurut Pakar Sakit Puan Dr Che Hasnura menerusi The Malaysian Medical Gazette, untuk mengelakkan masalah ternyahidrasi, elakan mengambil makanan yang tinggi sodium seperti mee segera, kentang goreng, atau telur masin. Ini boleh menjadikan anda cepat merasa dahaga dan letih.
7. PAM DENGAN KONSISTEN
Sebenarnya, lebih banyak bayi menyusu, lebih banyak ibunya menghasilkan susu. Ia dipanggil faktor ‘rangsangan hisapan’. Jika ibu-ibu bekerja, ibu-ibu mesti tetap patuhi jadual mengepam seperti biasa supaya sentiasa ada demand terhadap susu ibu. Bila ada demand, adalah supply.
Namun jika ibu rasa terlalu letih untuk mengepam pada siang hari, cuba tambahkan sesi mengepam pada waktu malam.
Dalam kesibukan bersahur juga, jangan lupa mengepam kerana pada waktu tersebut kadar hormon prolaktin tinggi. Maka kuantiti susu juga biasanya lebih ‘meriah’ berbanding waktu lain.
8. MINDSET & SOKONGAN SUAMI
Akhir sekali, setkan minda kita supaya positif dan yakin bahawa susu badan akan mencukupi untuk bayi anda. Doa seorang ibu amat makbul, jadi selalulah berdoa dan memohon kepada Allah.
Selain itu, diharapkan para suami juga lebih memahami dan prihatin terhadap keadaan isteri yang menyusukan bayi. Bantulah yang mana perlu dan jangan biarkan isteri terlalu letih supaya mereka dapat menunaikan ibadah puasa dengan baik.
KERINGANAN BERPUASA
Perlu diingat, walaupun dah pelbagai tips dilakukan, namun tetap ada ibu menyusu yang tidak dapat menahan lapar dan khuatir diri sendiri mahupun bayi mereka terjejas dari sudut kesihatan.
Bagi kes yang demikian, tak perlulah pula memaksa diri kerana ada keringanan khusus untuk golongan ini.
Dalil yang menunjukkan hal ini adalah sabda Nabi SAW,
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلاَةِ وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla meringankan setengah solat untuk musafir dan meringankan puasa bagi musafir, wanita hamil dan menyusui.”
– Hadis riwayat An Nasai no. 2275, Ibnu Majah no. 1667, dan Ahmad 4/347. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini hasan shahih.
Jadi, berpuasalah semampunya dan tak perlu memaksa diri sekiranya tidak berdaya. Mudah-mudahan kita semua dapat berpuasa dengan bertenaga dan ceria sepanjang Ramadhan ini.
Sumber : SirapLimau